Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi mempertingkat usaha melindungi hak asasi manusia, khususnya melibatkan golongan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi SUHAKAM yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus, kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Selasa.
Mohd Hishamudin berkata, pertemuan itu memberi tumpuan kepada beberapa isu utama berkaitan hak asasi manusia termasuk hak kanak-kanak, penyalahgunaan bahan terlarang, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta kebajikan warga emas.
“Dalam pertemuan ini juga, kami membincangkan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang berkaitan dengan kanak-kanak seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child) serta Akta Kanak-Kanak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah berkata, pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh perlindungan dan keselamatan kanak-kanak di negeri berkenaan.
Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan program pembangunan kapasiti melibatkan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen, sektor kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan keupayaan agensi berkaitan dalam mengendalikan isu-isu yang melibatkan kanak-kanak secara lebih berkesan.
Tambah beliau, perbincangan itu turut menyentuh mengenai hak serta kebajikan warga emas memandangkan Sarawak dijangka mencapai status masyarakat menua menjelang tahun 2028.
Menurut Zufar, persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan hak dan keperluan golongan warga emas terus dipelihara selaras dengan perubahan demografi negeri itu.
“Kesemua perkara ini telah dibincangkan sebagai antara cadangan program bersama yang akan dilaksanakan bukan sahaja dengan Kerajaan Sarawak, malah dengan agensi-agensi kerajaan negeri melalui sokongan Kerajaan Sarawak,” jelasnya.