Sultan Selangor Kecewa Dengan Insiden Bakar Suar, Mahu Polis Cari Dalang
Sultan Selangor Kecewa Insiden Pembakaran Suar Di Jambatan Angkat Kuala Terengganu
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa berhubung insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong Selangor FC.
Menerusi hantaran Selangor Royal Office di Facebook, Baginda selaku Penaung Selangor FC, menegaskan tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral termasuk budaya samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang mengenakan jersi pasukan Selangor FC.
Sehubungan itu, Baginda mahu pihak polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dalang di sebalik insiden berkenaan dan menuntut agar individu yang didapati bersalah dikenakan hukuman maksimum setimpal dengan peruntukan undang-undang.
Hukuman berkenaan bertujuan memberi pengajaran kepada penyokong lain agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
"Baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri
"Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu," ujar hantaran lagi.
https://www.facebook.com/share/p/1ZjSYgAnWY/