Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memainkan peranan dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera, namun pada masa sama menjadikan kecemerlangan, integriti dan merit sebagai budaya utama institusi berkenaan.
Baginda bertitah, peranan UiTM mempunyai asas perundangan dan perlembagaan yang jelas menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta 173.
“UiTM bukanlah institusi yang wujud tanpa asas perundangan. Akta 173 melalui Seksyen 1A memperuntukkan bahawa UiTM ditubuhkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, peranan UiTM dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera mempunyai asas perlembagaan yang jelas, bukan sekadar dasar pentadbiran biasa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Titah Diraja UiTM di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM serta disambut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Majlis berkenaan merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada 2016 dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai penyampai titah.
Dalam titah lebih 45 minit itu, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa usaha mempertahankan peranan UiTM tidak bermaksud menafikan hak pendidikan kaum lain.
Sebaliknya, baginda bertitah, penubuhan UiTM berasaskan keperluan sejarah bagi merapatkan jurang pendidikan dan sosioekonomi dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.
“Selagi jurang ini masih wujud, maka amanah penubuhannya belum selesai,” titah baginda.
Baginda turut mahu UiTM memastikan anak Melayu dan Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah serta luar bandar terus mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru UiTM memperkukuh budaya kecemerlangan, integriti, disiplin dan merit dalam kalangan warganya.
“Jangan sesekali kita menggunakan agenda Bumiputera sebagai alasan untuk menerima sesuatu yang sederhana atau kurang berkualiti,” titah baginda.
Baginda pada masa sama mencabar UiTM supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada penghasilan graduan, sebaliknya melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan, usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sultan Sharafuddin turut mencadangkan setiap pelajar dan graduan UiTM menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa asing bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.
Menurut baginda, penguasaan bahasa asing boleh menjadi antara faktor yang membezakan kualiti graduan ketika berdepan persaingan pekerjaan yang semakin sengit.
Dalam perkembangan sama, baginda mencadangkan satu sistem diwujudkan bagi membolehkan alumni UiTM menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada universiti sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap institusi berkenaan.
“Beta percaya nilai RM10 ringgit itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM,” titah baginda.
Sultan Selangor turut mengingatkan graduan dan alumni supaya menjaga nama baik UiTM serta menjauhi perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Baginda bertitah, UiTM kini perlu beralih daripada perjuangan mendapatkan akses pendidikan kepada usaha mencapai kecemerlangan, selain melahirkan pemimpin dan peneraju industri yang mampu bersaing di peringkat dunia.
“Beta tidak mahu generasi akan datang hanya mengenang UiTM kerana sejarahnya. Beta mahu mereka menghormati UiTM kerana kecemerlangannya,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan warga UiTM supaya membina kemajuan berasaskan acuan tersendiri menerusi ‘DNA-UiTM’ yang merangkumi pemikiran rasional, perasaan positif, semangat padu, aspirasi ke hadapan serta tingkah laku mulia.
Pada akhir titah, Sultan Sharafuddin menyeru orang Melayu supaya kembali menghayati semangat muafakat dan memperkukuh perpaduan dalam mempertahankan kepentingan bersama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.


