Setiap ibu pasti menyimpan rasa bangga apabila melihat anaknya membesar menjadi insan yang mampu berdikari dan menggunakan kebolehan yang dimiliki untuk sesuatu yang bermanfaat.
Lebih manis apabila kreativiti yang dicetuskan sejak kecil bukan sekadar menjadi hobi, sebaliknya berkembang menjadi satu kemahiran yang memberi nilai dan manfaat kepada diri sendiri.
Bagi seorang ibu, melihat anak berani mencuba sesuatu yang baharu, menghasilkan idea sendiri dan menjadikannya sebagai satu kelebihan dalam kehidupan pastinya menjadi kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Kreatif manfaatkan wayar terpakai
Baru-baru ini, perkongsian pengasas Moktis Ice Cream, Siti Fatimah Adnan menerusi aplikasi Threads mencuri perhatian ramai selepas berkongsi kisah anaknya yang kreatif memanfaatkan barang terpakai untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan.
Menurut Siti Fatimah, anaknya, Fateh, gemar mengumpul wayar dan kabel tembaga daripada barangan rosak, kawasan tepi jalan, tapak pengubahsuaian serta kawasan sekitar premis Moktis Ice Cream untuk dijual semula.
Menariknya, hasil kutipan itu digunakan sendiri oleh Fateh bagi mengumpul wang untuk membeli barangan yang diidamkannya, sekali gus membuatkan ibunya berasa bangga melihat cara anaknya berusaha mendapatkan apa yang diinginkan.
Sanggup 'hilang' sekejap cari wayar
Siti Fatimah berkata, setiap kali mereka pergi ke kenduri atau mana-mana tempat, Fateh gemar 'menghilang' seketika untuk mencari wayar dan kabel yang boleh dikumpulkan.
Menurutnya, Fateh tidak pernah berasa malu untuk melakukan perkara tersebut, malah begitu teruja setiap kali berjaya menemukan wayar untuk dibawa pulang.

“Fateh ni kalau kami pergi makan atau kenduri atau mana-mana, dia suka 'hilang' sekejap, tengok tepi longkang atau dekat kawasan sampah, cari wayar-wayar kabel untuk bawa balik.
“Dia tak segan. Bila dapat wayar kabel, dia happy sangat. Balik rumah tu, dia kupas sendiri,” katanya.
Usahanya membuahkan hasil
Lebih membanggakan, hasil usaha kecil Fateh akhirnya membuahkan hasil apabila kutipan wayar tembaga yang dikumpulnya berjaya mencecah lebih sekilogram.
Alhamdulillah, apabila sudah cukup sekilo, Siti Fatimah kemudian menemani Fateh menjual hasil kutipannya.


Hasil jualan itu memberikan Fateh sekitar RM50, dengan harga wayar tembaga ketika itu kira-kira RM37 sekilogram.
Bagi Siti Fatimah, usaha anaknya itu bukan sahaja membuktikan kreativiti, malah mengajar Fateh bahawa sesuatu yang diinginkan boleh diusahakan sendiri dengan cara yang baik.
Reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa bangga dan kagum melihat usaha Fateh yang kreatif mencari peluang untuk mendapatkan wang sendiri.
Ada yang memuji sikapnya yang rajin, tidak malu melakukan kerja tersebut serta bijak memanfaatkan barang terpakai untuk sesuatu yang lebih bernilai.
Tidak kurang juga yang menganggap usaha kecil itu sebagai satu pengalaman berharga buat Fateh kerana sejak kecil sudah belajar tentang usaha, nilai wang dan kepuasan mendapatkan sesuatu hasil daripada titik peluh sendiri.


