Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terjatuh Ketika Hantar Order, Rider Sebak Pelanggan Beri Tip RM100

ORDER
Kredit: Threads/ @mustaqimmustapha__

Sudah terjatuh ketika menghantar pesanan, ditambah pula keadaan makanan yang berterabur, seorang penghantar makanan tetap meneruskan perjalanan demi memastikan pesanannya sampai kepada pelanggan.

Namun, setibanya di rumah pelanggan dikenali sebagai Adriana, perkara tidak dijangka berlaku apabila wanita itu bukan sahaja tidak memarahinya, malah menghulurkan air sebelum memberikan tip RM100.

Kisah tersebut dikongsikan seorang pengguna Threads, Mustaqim Mustapha menerusi satu hantaran semalam yang menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Menurut Mustaqim, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan dari KFC Cyberjaya apabila motosikal ditungganginya terjatuh.

“Nasib baik tak cedera teruk, cuma rantai motor tercabut dan air dalam order pun berterabur.

“Lepas siap repair motor, saya tetap teruskan perjalanan dan hantar order tersebut,” katanya.

Kredit: Threads/ @mustaqimmustapha__

Jelasnya, sebaik tiba di rumah pelanggan, dia terus menerangkan perkara yang berlaku serta memohon maaf atas keadaan pesanan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pelanggan terbabit tidak memarahinya dan sebaliknya memahami situasi yang berlaku, malah menghulurkan air kepadanya.

Lebih menyentuh hati, menurut Mustaqim, ketika dia hendak beredar, pelanggan berkenaan memanggilnya semula sebelum menghulurkan wang tunai RM100 sebagai tip.

“Saya dah nak gerak, tiba-tiba akak panggil saya balik. Akak hulurkan RM100 sebagai tips.

“Entah kenapa, masa tu rasa sebak sangat. Bukan sebab nilai RM100 tu sahaja, tapi sebab dalam keadaan saya rasa serba salah dan bersalah, akak pilih untuk memahami dan berbuat baik kepada saya,” ujarnya.

Mustaqim berkata, pemberian itu amat bermakna buatnya ketika berdepan hari yang sukar dan mendoakan agar segala kebaikan pelanggan terbabit dibalas dengan rezeki yang lebih luas.

Tambahnya, pengalaman itu turut mengingatkannya bahawa masih ramai insan yang memilih untuk berbuat baik walaupun ketika berdepan situasi tidak dijangka.

“Semoga rezeki RM100 yang akak hulurkan hari ini kembali kepada akak dalam jumlah dan bentuk yang jauh lebih baik.

“Alhamdulillah. Ada hari kita diuji, ada hari Allah tunjukkan bahawa masih ramai manusia yang baik,” katanya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengguna Threads lain yang berkongsi pengalaman hampir sama serta memuji sikap pelanggan berkenaan.

“Definisi memanusiakan manusia,” kata seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna pula berkongsi pengalaman pernah menerima wang daripada pelanggan selepas motosikalnya mengalami masalah ketika menghantar pesanan.

Intipati
  • Mustaqim Mustapha terjatuh ketika menghantar pesanan, menyebabkan air dalam order berterabur.
  • Dia tetap meneruskan penghantaran selepas membaiki motosikal dan memohon maaf kepada pelanggan.
  • Pelanggan dikenali sebagai Adriana memahami situasi itu, memberi air dan tip RM100.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan