Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terkesan Dengan Inflasi, Gelagat Haiwan Zoo Jepun Tak Selera Makan Makanan Murah Curi Perhatian

Nurfatihah Shahirah Azzuddin
Haiwan Di Zoo Jepun Tak Selera Makan
Gambar: Mothership

Terkesan Dengan Inflasi, Gelagat Haiwan Di Zoo Jepun Tak Selera Makan Makanan Murah Curi Perhatian

Sebuah zoo di Jepun dilaporkan terpaksa menukar makanan beberapa haiwannya bagi mengurangkan kos disebabkan inflasi.

Menurut laman Mothership, kejadian itu berlaku di Zoo Hakone-en yang bertempat di Kanagawa Jepun.

Difahamkan, haiwan ternakan di zoo tersebut diberi makanan baru yang jauh lebih murah dari sebelumnya ekoran berlakunya inflasi di negara tersebut.

Satu video yang memaparkan detik lucu penguin memalingkan muka ketika disuapkan ikan murah oleh pekerja zoo telah berlegar di media sosial.

Pada ketika itu, penjaga zoo tersebut telah dikelilingi oleh sekumpulan penguin yang tidak bersemangat untuk menikmati waktu makan.

Meskipun terdapat baldi ikan di hadapannya, penguin itu langsung tidak berganjak dan tiada seekor pun melihat ke arah ikan-ikan tersebut.

Penjaga itu turut menghulurkan seekor ikan ke mulut salah satu penguin, namun haiwan itu langsung tidak terfikir untuk memakannya malah menutup paruh dan mengelak ikan daripada memasuki mulutnya.

Penjaga zoo yang sama turut menghampiri penguin yang lain sambil membawa seekor ikan untuk disuapkan namun penguin itu lantas memutar kepalanya dan mengalihkan pandangan seolah-olah mengejek ikan itu.

Kejadian yang sama turut terjadi apabila penjaga zoo ingin memberi makan kepada memerang.

Pada awalnya sekumpulan memerang seakan-akan tidak sabar untuk menikmati kepingan ikan yang telah dipotong dadu.

Namun, sejurus menggigit kepingan ikan itu, memerang tersebut lantas meludahkannya kembali.

Ekoran itu, memerang yang lain turut meninggalkan penjaga zoo itu bersama kepingan ikan yang telah dipotong.

Pihak zoo telah membuat keputusan untuk menukar makanan para haiwan daripada ikan tenggiri kuda Jepun (aji) kepada tenggiri (saba).

Hal ini kerana harga tenggiri kuda meningkat kira-kira 20 ke 30 peratus berbanding tahun lepas, dan sebahagiannya disebabkan oleh tangkapan yang rendah.

Zoo tersebut masih membeli beberapa ekor tenggiri kuda untuk makanan haiwan, tetapi tidak bercadang untuk kembali sepenuhnya sehingga harga jatuh.

Pihak zoo juga telah menggunakan langkah penjimatan kos lain seperti mengurangkan bilangan pam edaran daripada dua kepada satu sekaligus menjimatkan hampir separuh bil elektrik.

“Kami tidak akan memaksa mana-mana haiwan untuk makan apa yang mereka tidak mahu,” kata penjaga zoo.

Sumber: Mothership.sg

Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%