Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terperangkap Dalam Kebakaran Hutan Di Kalimantan, Orang Utan Hilang Empat Ruas Jari Kaki

Orang Utan Hilang Jari Kaki Kebakaran
Kredit: detikkalimantan

Seekor orang utan bernama Novita mengalami kecederaan serius selepas terperangkap dalam kebakaran hutan di Palangka Raya, Indonesia, sehingga empat ruas jari kakinya tidak dapat diselamatkan.

Orang utan berusia kira-kira empat tahun itu turut mengalami kematian tisu pada sebahagian kaki dan tangannya, meskipun keadaannya semakin baik.

Memetik detiknews, Novita dipercayai mencederakan anggota badannya sendiri ketika terperangkap di atas pokok dalam kepungan api dan asap tebal.

Tanpa kehadiran ibunya, Novita dipercayai memanjat pokok dan membina sarang sendiri sebagai usaha untuk terus bertahan ketika kebakaran berlaku.

Menurut kenyataan Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Tengah menerusi Instagram rasminya pada 28 September lalu, Novita mempunyai berat kira-kira 17 kilogram.

“Dalam kepungan api dan asap, seekor anak orang utan bertahan sendirian di atas pokok,” menurut kenyataan agensi berkenaan.

Tempoh sebenar Novita bertahan dalam keadaan itu juga tidak diketahui, namun kehadirannya mula dilaporkan saksi pada 25 September sebelum operasi menyelamat dijalankan.

Operasi menyelamatkan Novita kemudian dilaksanakan pada 26 September yang melibatkan BKSDA Kalimantan Tengah, Kementerian Kehutanan Indonesia, Yayasan BOS Nyaru Menteng serta pasukan tentera Indonesia.

Orang Utan Hilang Jari Kaki Susulan Terkesan Kebakaran Kalimantan

Novita Kini Dirawat Di Pusat Rehabilitasi

Selepas diselamatkan, Novita dibawa ke Pusat Rehabilitasi Orang Utan BOS Nyaru Menteng untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Menurut doktor yang merawatnya, keadaan Novita menunjukkan perkembangan positif, namun sebahagian tisu pada kaki dan tangannya telah mengalami kematian tisu.

Dokumentasi pusat rehabilitasi itu menjelaskan bahawa empat ruas jari kaki Novita tidak dapat diselamatkan selepas dia dipercayai mencederakan anggota badannya ketika kebakaran.

BKSDA Kalimantan Tengah turut menyifatkan kecederaan melecur serius pada kedua-dua tangan dan kaki Novita sebagai gambaran perjuangannya untuk terus hidup.

Puluhan Orang Utan Mengalami Jangkitan Pernafasan

Sementara itu, 47 orang utan di pusat rehabilitasi Yayasan BOS Nyaru Menteng, Palangka Raya, dilaporkan mengalami jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.

Penyelaras doktor yayasan berkenaan, Agus Fahroni, berkata keadaan haiwan yang terjejas masih agak ringan dan boleh dirawat oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, pendedahan terhadap asap kebakaran hutan perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan, khususnya haiwan yang masih menjalani proses rehabilitasi sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi.

Orang utan yang mengalami ISPA diberikan ubat herba dan vitamin serta bekalan air minuman mencukupi bagi membantu pemulihan daripada kesan pendedahan kepada asap.

Agus turut menegaskan bahawa keperluan air minuman perlu dipenuhi kerana perkara itu penting untuk menjaga kesihatan orang utan yang terdedah kepada asap dalam tempoh tertentu.

Intipati
  • Novita kehilangan empat ruas jari kaki selepas terperangkap dalam kebakaran hutan Palangka Raya.
  • Orang utan itu dipercayai bertahan sendirian di atas pokok tanpa kehadiran ibunya.
  • Sebanyak 47 orang utan di pusat rehabilitasi dilaporkan mengalami ISPA akibat jerebu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan