Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TM Perlu Teroka AI, Teknologi Kuantum Untuk Kekal Relevan – PM

KUANTUM
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Telekom Malaysia Berhad (TM) perlu terus melangkah ke era baharu teknologi dengan memperkukuh penerokaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum bagi memastikan syarikat itu kekal relevan dalam mendepani perubahan zaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TM kini bukan lagi sekadar mewarisi legasi Jabatan Telekom, sebaliknya memikul tanggungjawab lebih besar untuk membantu memastikan Malaysia terus maju, berdaulat, merdeka dan berjaya.

Menurutnya, perkembangan teknologi yang bergerak pantas menuntut TM untuk terus meneroka bidang baharu, di samping memperkukuh kepakaran serta pengalaman yang dimiliki.

“Saya sekali lagi bangga kerana Telekom Malaysia ikuti betul-betul dari era-era semikonduktor ke era digital dan bila kita tiga tahun setengah yang lalu kita bicarakan soal transformasi digital, jadi antara yang cepat menyambut adalah TM dan juga universiti.

“Dan bila kita bicara soal multimedia dan kemudian AI, saya lebih bangga kerana yang cepat menyambutnya juga TM dan Universiti Multimedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 TM, di sini hari ini.

Anwar berkata, pencapaian yang diraih TM tidak seharusnya menyebabkan syarikat itu selesa dengan kedudukan sedia ada.

Sebaliknya, katanya, TM perlu terus mempunyai tekad dan semangat untuk mengejar kecemerlangan, selari dengan perubahan teknologi yang berlaku begitu pantas.

Beliau menegaskan Malaysia juga tidak akan mampu meningkatkan martabat dan darjat negara sekiranya terus mengekalkan cara lama yang lembap, selain dibelenggu kebobrokan sistem dan sikap malas.

“Mana negara yang boleh terangkat martabat dan harakat dan darjatnya dengan keadaan mengekalkan situasi yang lama, lembab dan penuh dengan kebobrokan sistem kemalasan? Tidak mungkin.

“Maka harus dipacu dengan lebih hukum, dipastikan tahap kemajuan itu lebih laju dan pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan sesebuah syarikat seperti TM tidak seharusnya hanya diukur menerusi keuntungan, hasil atau kejayaan memperkenalkan teknologi baharu.

Sebaliknya, beliau berkata, aspek kebajikan pekerja serta masyarakat sekeliling turut perlu diberikan perhatian.

Mengimbas proses penswastaan Jabatan Telekom pada 1990, Anwar berkata, kecekapan dan keuntungan sememangnya penting, namun kebajikan pekerja tidak boleh diketepikan.

Katanya, perkara itu termasuk penyediaan perumahan, pemberian upah dan gaji yang lebih lumayan serta menjaga masa depan anak-anak pekerja, termasuk menerusi peluang pendidikan.

“Sebab itulah pekerja Telekom umumnya mendapat pengiktirafan yang jauh lebih baik. Ini bezanya di Malaysia dan ini yang kita katakan dalam negara Madani.

“Kita mahu pertumbuhan itu lebih rancak, segar, pantas. Kita mahu juga keselesaan rakyat itu dinikmati oleh semua,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, TM juga perlu memanfaatkan kepakaran dan keupayaan yang dimiliki untuk melatih lebih ramai anak bangsa dalam bidang serta disiplin baharu.

Beliau turut memuji keupayaan TM yang pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, bermula daripada era semikonduktor kepada era digital, transformasi digital, multimedia dan kini AI.

“TM perlu terus berkembang bukan sekadar merentasi generasi, malah hampir merentasi zaman, sejajar dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas,” katanya.

Intipati
  • Anwar berkata TM perlu meneroka AI dan teknologi kuantum untuk kekal relevan.
  • Beliau memuji TM kerana pantas menyesuaikan diri daripada era semikonduktor hingga AI.
  • Anwar menegaskan keuntungan penting, namun kebajikan pekerja dan masyarakat tidak boleh diketepikan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan