Tom Cruise Tinggalkan Kediaman Mewah Di London
Pelakon terkenal Hollywood, Tom Cruise, dilaporkan telah meninggalkan kediaman mewahnya bernilai sekitar £35 juta di Knightsbridge, London. Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas beliau merasakan kawasan itu semakin tidak selamat untuk didiami.
Menurut laporan media antarabangsa, bintang filem "Mission: Impossible" itu membeli penthouse di bangunan eksklusif One Hyde Park. Sebelum ini, beliau sering dilihat berjoging pada waktu pagi di sekitar kawasan tersebut.
Cruise akui cintai Britain
Sebelum ini, Cruise pernah menyatakan bahawa beliau amat menyukai Britain dan menganggap dirinya seorang Anglophile (peminat budaya British).
Dalam satu temu bual pada 2022, beliau memuji gabungan budaya lama dan moden Britain, sejarahnya yang kaya serta keindahan kawasan luar bandar.
Sepanjang menetap di UK sejak 2021, Cruise aktif menghadiri pelbagai acara penting. Ini termasuk sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II, perlawanan akhir Wimbledon, serta Grand Prix Britain.
Beliau juga menghadiri konsert di Hyde Park dan meraikan ulang tahun ke-60 di Cotswolds bersama rakan selebriti seperti David Beckham, Gordon Ramsay dan James Corden.
Bimbang akan keselamatan
Namun, satu insiden rompakan bersenjata di sebuah kedai jam tangan mewah Bucherer yang terletak di bawah bangunan apartmennya dipercayai mencetuskan kebimbangan keselamatan pelakon berusia 63 tahun itu.
Dalam kejadian berkenaan, enam perompak bersenjata dilaporkan melarikan diri dengan barangan jam tangan Rolex bernilai ribuan pound, sekali gus mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk kawasan elit tersebut.
Seorang sumber yang rapat dengan Cruise memberitahu media bahawa insiden tersebut menguatkan kebimbangan pelakon itu mengenai tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Menurut sumber itu, Cruise merasakan keselamatan di sekitar apartmen mewah tersebut tidak mencukupi, dan kawasan Knightsbridge semakin tidak selamat sejak kebelakangan ini.
Justeru, pelakon itu dipercayai telah kembali ke Amerika Syarikat (AS) selepas insiden tersebut.
Pihak media telah menghubungi wakil Tom Cruise untuk mendapatkan kenyataan rasmi. Namun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pelakon tersebut mengenai keputusan meninggalkan apartmen mewahnya di London.