Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PULAU PINANG, 5 Mei 2025 – Tourism Malaysia terus mempergiat usaha memperkukuh ekosistem pelancongan negara melalui sesi libat urus bersama para pemain industri yang diadakan hari ini di Iconic Marjorie Hotel, Bayan Lepas, Pulau Pinang, sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Merupakan siri kesebelas daripada rangkaian sesi libat urus yang telah diadakan di beberapa negeri sebelum ini, program kali ini memberi tumpuan kepada penyelarasan strategi promosi serta memperkukuh kerjasama merentas sektor bagi memastikan penyertaan aktif daripada pihak industri dalam menjayakan TMM2026.

Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, dengan kehadiran YB Tuan Wong Hon Wai, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, serta Encik Shahrin Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, bersama barisan wakil agensi kerajaan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan pemain industri tempatan.

YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin berkata, tema kempen TMM2026, Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya mencerminkan komitmen negara dalam mengekalkan daya tarikan pelancongan yang mesra alam dan berteraskan budaya.

“Pulau Pinang memiliki keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan dengan nilai sejarah, budaya dan komuniti majmuk yang saling melengkapi. Pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut memperkukuh kedudukannya sebagai antara destinasi tumpuan bagi pelancongan berasaskan budaya dan kelestarian menjelang TMM2026,” katanya.