Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tourism Malaysia Dan Star Media Group Lancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026

Tourism Malaysia Dan Star Media Group
Kredit: Tourism Malaysia

Tourism Malaysia Dan Star Media Group Lancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026

PETALING JAYA — Tourism Malaysia dengan kerjasama Star Media Group Berhad (SMG) hari ini melancarkan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026, sebuah inisiatif pelancongan seluruh negara yang bertujuan merancakkan pelancongan domestik, mengukuhkan penyertaan industri pelancongan serta mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia sebagai sokongan kepada kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Bertempat di Menara Star, majlis pelancaran ini menghimpunkan pihak berkepentingan industri pelancongan, pemain industri serta wakil media, sekali gus mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam memacu pertumbuhan pelancongan, meningkatkan kesedaran terhadap destinasi serta merangsang permintaan perjalanan di seluruh negara.

Dengan membawa tema “Discover, Experience, Explore”, Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 akan menjelajah enam negeri iaitu Pahang, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak, serta dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung di seluruh negara.

Karnival ini menjadi platform untuk menggalakkan rakyat Malaysia meneroka keunikan destinasi pelancongan negara di samping memberi peluang kepada pemain industri berinteraksi terus dengan pengguna serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Pengunjung boleh menantikan pelbagai pameran destinasi, promosi pelancongan eksklusif, produk pelancongan serta pengalaman interaktif, selain peluang berhubung secara langsung dengan pengusaha pelancongan dan pemain industri.

Dengan menghimpunkan organisasi pelancongan negeri, hotel, resort, tarikan pelancongan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, pengendali pelancongan lasak, jenama peralatan perjalanan serta pelbagai perniagaan berkaitan pelancongan di bawah satu bumbung, karnival ini menawarkan platform sehenti yang memudahkan perancangan percutian dan pembelian pakej pelancongan.

Inisiatif ini turut menyokong usaha merangsang perbelanjaan pelancongan domestik, meningkatkan penglibatan pengguna serta memperkukuh kesiapsiagaan industri menjelang Visit Malaysia 2026.

Selaras dengan inisiatif “Destinasi Indah, Harga Rahmah”, pengunjung juga akan menikmati tawaran perjalanan menarik serta pakej percutian berbaloi yang menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi di seluruh negara.

YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, menyatakan bahawa sektor pelancongan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara serta pemangkin kepada pembangunan komuniti pembangunan.

Selain menjana peluang ekonomi, sektor pelancongan turut mengeratkan hubungan antara pelawat dengan komuniti setempat serta menyokong sumber pendapatan perniagaan, usahawan dan penggiat industri pelancongan di seluruh negara.

“Setiap perjalanan mencipta peluang kepada pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengendali pengangkutan, pemandu e-hailing, peniaga makanan, usahawan kraf tangan dan pelbagai perniagaan kecil yang menjadi tulang belakang sektor pelancongan kita.

"Dalam hal ini, Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 memainkan peranan penting dalam menyokong objektif VM2026. Sebagai sebahagian daripada kalendar acara dan aktiviti promosi pelancongan tahun ini, karnival ini menyediakan platform yang bernilai kepada pemain industri untuk berhubung terus dengan pengguna, mempromosikan tawaran pelancongan serta menggalakkan penerokaan destinasi di seluruh Malaysia," tambahnya.

Tambah beliau juga, seiring dengan momentum VM2026 yang semakin meningkat, setiap kerjasama, program dan inisiatif pelancongan menyumbang kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan, di samping menggalakkan rakyat Malaysia berbangga dan meneroka khazanah dalam negara sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Encik Chan Seng Fatt berkata, Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 direka untuk menghimpunkan pengembara dan perniagaan pelancongan melalui platform yang menarik, sekali gus memudahkan pencarian perjalanan dan perancangan percutian.

"Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan pelancongan sambil menyokong pertumbuhan industri pelancongan Malaysia,” ujarnya.

Sebagai organisasi media tempatan, Star Media Group berbangga dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam menyokong objektif Visit Malaysia 2026.

Dengan memanfaatkan capaian media dan platform yang luas, pihaknya berharap dapat mempromosikan destinasi unik Malaysia serta menggalakkan lebih ramai orang menikmati kepelbagaian produk pelancongan negara.

Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan akan menampilkan pakej pelancongan eksklusif, promosi penginapan, tawaran tarikan pelancongan, pengalaman destinasi, hadiah percutian, peluang perancangan perjalanan serta pelbagai aktiviti pelancongan interaktif yang direka untuk mencetuskan inspirasi percutian seterusnya.

Siri enam negeri Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 akan diadakan mengikut jadual berikut:

  1. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Pahang
    Tarikh: 3 – 5 Julai 2026
    Lokasi: East Coast Mall, Kuantan

  2. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Johor
    Tarikh: 31 Julai – 2 Ogos 2026
    Lokasi: Paradigm Mall, Johor Bahru

  3. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Sabah
    Tarikh: 14 – 16 Ogos 2026
    Lokasi: Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu

  4. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Pulau Pinang
    Tarikh: 24 – 27 September 2026
    Lokasi: Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang

  5. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Selangor
    Tarikh: 23 – 25 Oktober 2026
    Lokasi: Sunway Pyramid (Orange Zone), Selangor

  6. Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia Sarawak
    Tarikh: 30 Oktober – 1 November 2026
    Lokasi: Plaza Merdeka, Kuching

Kredit: Tourism Malaysia

Menjelang persiapan Malaysia untuk menerima kedatangan pelawat sempena Visit Malaysia 2026, inisiatif seperti Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 dijangka terus memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan pelancongan, memperkukuh kerjasama industri serta mempromosikan kepelbagaian pengalaman yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.