Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trafik Internet Global Terjejas, Cloudflare Dedah Punca Gangguan
Malam tadi sebahagian pengguna internet di seluruh dunia menghadapi masalah untuk mengakses laman web dan aplikasi termasuk ChatGPT dan X akibat gangguan pada Cloudflare.
Gangguan itu boleh dikatakan antara yang terburuk kerana berlaku dalam tempoh lebih dua jam sekaligus membantutkan kerja orang ramai.
Berikutan masalah terbabit, Ketua Pegawai Teknologi Cloudflare, Dane Knecht membuat permohonan maaf kerana telah mengecewakan orang ramai.
“Saya tidak akan berselindung, kami telah mengecewakan para pelanggan dan keseluruhan komuniti internet apabila satu masalah dalam rangkaian Cloudflare menjejaskan sebahagian besar trafik yang bergantung kepada kami.
“Laman web, perniagaan dan organisasi yang menggunakan Cloudflare bergantung kepada perkhidmatan kami untuk sentiasa beroperasi dan saya memohon maaf atas gangguan yang telah berlaku,” katanya.
Menerusi kenyataan di laman X, Dane turut menjelaskan mengenai apa sebenarnya yang berlaku terhadap rangkaian itu.
Menurutnya, adalah penting untuk pihaknya menjelaskan dengan telus mengenai masalah terbabit.
“Ringkasnya, satu pepijat (bug) tersembunyi dalam perkhidmatan yang menyokong kemampuan mitigasi bot kami mula menyebabkan sistem terhenti selepas satu perubahan konfigurasi rutin dibuat.
“Kejadian itu kemudian mencetuskan gangguan meluas pada rangkaian dan perkhidmatan lain,” ujarnya sambil menegaskan bahawa ia bukan satu serangan.
Dalam satu perkongsian yang lain, beliau memaklumkan bahawa perkhidmatan mereka telah pulih dan boleh digunakan semula.
Sementara itu, Cloudflare melalui laman web mereka turut menjelaskan dengan terperinci mengenai punca gangguan tersebut.
Ia dikatakan berlaku kerana perubahan pada kebenaran sistem pangkalan data mereka yang menyebabkan pangkalan data tersebut menghasilkan banyak entri ke dalam sebuah feature file yang digunakan oleh sistem Bot Management mereka.
“Akibatnya, feature file itu menjadi dua kali ganda lebih besar daripada saiz asal. Fail yang lebih besar daripada jangkaan itu kemudian tersebar ke semua mesin dalam rangkaian kami.
“Perisian yang berjalan pada mesin-mesin ini digunakan untuk mengatur hala tuju trafik dalam rangkaian.
“Ia membaca feature file tersebut bagi memastikan sistem Bot Management sentiasa dikemas kini dengan ancaman siber yang sentiasa berubah. Namun, perisian berkenaan mempunyai had saiz feature file yang lebih kecil daripada saiz fail yang telah berganda itu. Ini menyebabkan perisian gagal berfungsi,” katanya.
Cloudflare turut berkata pada awalnya mereka menyangka simptom yang dilihat berpunca daripada serangan DDoS berskala besar.
Bagaimanapun, setelah mengenal pasti punca sebenar, mereka menghentikan penyebaran feature file yang melebihi saiz dan menggantikannya dengan versi terdahulu.
“Trafik utama kembali beroperasi hampir normal menjelang 2.30 petang. Beberapa jam berikutnya, kami bertindak mengurangkan beban tinggi pada bahagian-bahagian tertentu rangkaian apabila trafik kembali meningkat. Sehingga jam 5.06 petang, semua sistem di Cloudflare telah beroperasi seperti biasa.
“Kami memohon maaf atas kesan yang dialami pelanggan dan komuniti Internet secara keseluruhan. Memandangkan kedudukan Cloudflare yang penting dalam ekosistem Internet, sebarang gangguan pada perkhidmatan kami adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Tempoh di mana rangkaian kami tidak dapat menghala trafik merupakan sesuatu yang amat mengecewakan bagi setiap anggota pasukan. Kami sedar kami telah mengecewakan anda hari ini,” kata kenyataan tersebut.
Sumber: Dane Knecht, Cloudflare