Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) terus memperkukuhkan kerjasama pertahanan serantau apabila melaksanakan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) MALINDO Siri 1/26 di ruang udara Selat Melaka, semalam.
TUDM berkata dalam satu kenyataan, rondaan udara bersama itu bertujuan meningkatkan tahap pemantauan serta kesiapsiagaan operasi kedua-dua angkatan udara di kawasan strategik persempadanan Selat Melaka.
Menurut TUDM, operasi berkenaan turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama dua hala secara lebih bersepadu dan strategik, selain mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
“Rondaan udara bersama ini juga berperanan sebagai Show of Presence yang menzahirkan komitmen teguh kedua-dua negara terhadap pemeliharaan keamanan, kedaulatan dan integriti ruang udara di perairan Selat Melaka,” katanya.
Bagi operasi kali ini, TUDM mengatur gerak tiga pesawat pejuang F/A-18D daripada No. 18 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan dengan panggilan Angkasa 108 A/B/C.
Pesawat Angkasa 108A diterbangkan oleh Mejar Khairul Asyraf Abd Aziz bersama Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin, manakala Angkasa 108B dikendalikan Kapten Muhammad Amirul Adly Abdul Majid bersama Mejar Mohd Azlan Kasiah.
Sementara itu, Angkasa 108C diterbangkan oleh Mejar Mohd Zahir Anuar bersama Leftenan Mohammad Alif Aiman Arhan.
Menurut TUDM, TNI-AU pula mengatur gerak dua pesawat pejuang F-16C daripada Skuadron Udara 16 yang berpangkalan di LANUD Roesmin Nurjadin, Pekanbaru menggunakan panggilan Rydder.
“Pesawat Rydder 1 diterbangkan oleh Kapten Penerbang Wawan Setiawan, manakala Rydder 2 dikendalikan Kapten Penerbang Satriya Kristanto Wicaksono,” katanya.
Dalam pada itu, TUDM berkata penyelarasan operasi turut membabitkan CRC Kuantan dengan panggilan Kilau selaku Pusat Kawalan Operasi TUDM bersama Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Ruang Angkasa Bersama (JAMCC) Sepang serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memastikan penyelarasan ruang udara negara berjalan lancar.
Di pihak Indonesia, Komando Sektor 1 (KOSEK 1) Medan dengan panggilan Petir bertindak sebagai Pusat Kawalan Operasi bagi memastikan rondaan udara dilaksanakan secara teratur, selamat dan berkesan.
Menurut TUDM, selain meningkatkan kesiapsiagaan operasi kedua-dua angkatan udara, PATKOR MALINDO turut memperkukuhkan tahap interoperabiliti, koordinasi serta hubungan profesional antara TUDM dan TNI-AU dalam menghadapi ancaman keselamatan serta membanteras aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang di Selat Melaka.
“TUDM komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama negara jiran menerusi pelaksanaan operasi bersama yang mampu meningkatkan keupayaan pertahanan udara serantau, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan kawasan,” katanya.