Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Turun 34Kg, Lelaki Kongsi 'Rahsia' Order Makanan Di Kedai Mamak
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kedai mamak umpama 'port wajib' tak kira siang dan malam.
Nak sarapan, lepak malam, tengok bola atau minum dengan kawan-kawan, mamaklah tempat yang paling mudah dicari.
Sebaliknya, bagi mereka yang bermimpi untuk turunkan berat badan, kedai mamak ni boleh kata 'musuh' terbesar. Mana tidaknya, tempat itu penuh dengan macam-macam menu yang memang susah nak ditolak.
Tapi siapa sangka, seorang lelaki yang pernah memiliki berat badan 130 kilogram membuktikan anda sebenarnya masih boleh makan di mamak dan pada masa sama berjaya menurunkan berat badan.
Malah, dia berjaya turun 34 kilogram hanya dengan mengubah cara dia membuat pesanan makanan setiap kali ke kedai mamak.
Menerusi satu video yang dikongsikan di YouTube @jordanchiafit, pemuda ini berkongsi perjalanannya daripada berat badan 130 kilogram kepada tubuh yang jauh lebih sihat.
Menurutnya, ramai yang menyalahkan kedai mamak apabila berat badan naik, sedangkan hakikatnya bukan tempat itu yang menjadi punca.
"Kalau anda orang Malaysia dan fikir makan di kedai mamak boleh buat badan naik, mungkin selama ini anda silap. Sebenarnya bukan kedai mamak yang jadi punca, tapi apa yang anda pesan.
"Dulu, masa berat saya mencecah 130 kilogram, setiap kali pergi mamak memang menu saya hampir sama. Maggi goreng ayam saiz double, tambah pula roti telur. Ingat itu saja? Mestilah kena ada Milo ais kaw-kaw setiap kali.
"Itulah rutin saya hampir setiap hari. Lepas tu, saya pelik kenapa berat badan makin lama makin naik.
"Sampailah satu malam, saya terjaga daripada tidur sebab rasa susah nak bernafas," katanya.
Ujarnya, sejak kejadian itu, setiap kali ke mamak, dia masih datang ke tempat yang sama. Bezanya, kali ini dia mengubah menu yang dipesan.
Perkara pertama yang dilakukannya ialah mencari pelayan yang sudah mengenalinya.
"Bila abang mamak dah kenal kita, lebih senang nak minta ikut cara yang kita nak," katanya berseloroh.
Kini, pilihan utamanya ialah tosai bersama kuah dal.
Menurutnya, tosai mengandungi lebih protein, menggunakan minyak yang jauh lebih sedikit berbanding roti canai, selain mampu membuatkan perut kenyang lebih lama.
Malah setiap kali membuat pesanan, dia tidak lupa meminta supaya makanan itu dimasak dengan kurang minyak.
"Kalau saya nak tambah protein, saya akan ambil ayam tandoori, terutama bahagian dada ayam. Isinya banyak, rendah lemak, tinggi protein dan memang mengenyangkan untuk beberapa jam," tambahnya.
Selain makanan, dia turut mengingatkan bahawa ramai sebenarnya gagal dalam usaha menurunkan berat badan disebabkan pilihan minuman.
Tanpa disedari, minuman seperti teh tarik, Milo ais, kopi manis atau minuman berkrim boleh menyumbang ratusan kalori dalam satu hidangan.
Disebabkan itu, dia memilih untuk memesan Teh O ais kosong setiap kali makan di mamak. Tiada gula, tiada susu dan tiada kalori tambahan.
"Percayalah, anda tak perlu berhenti makan di kedai mamak. Apa yang anda perlu tinggalkan hanyalah pesanan lama yang selama ini menjadi kebiasaan.
"Cuba buat pilihan ini bila ke mamak nanti dan tengok sendiri perubahannya," katanya.