Menunggang motosikal di kawasan tanah tinggi menawarkan pengalaman yang sukar dilupakan dengan pemandangan gunung-ganang dan laluan berliku yang mencabar.
Namun, di sebalik keindahan itu, perjalanan di kawasan altitud tinggi turut membawa cabaran tersendiri apabila udara semakin nipis bukan sahaja memberi kesan kepada tubuh penunggang, malah boleh mempengaruhi prestasi motosikal.
Jadi, sebelum merancang perjalanan merentasi laluan pergunungan, ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui supaya perjalanan lebih selamat dan lancar.
Udara Semakin Nipis, Oksigen Pun Berkurang
Apabila berada pada altitud melebihi 8,000 kaki, tekanan udara mula menurun dan jumlah oksigen yang tersedia untuk tubuh turut berkurangan.
Sumber ini menyatakan pada ketinggian 10,000 kaki, jumlah oksigen yang tersedia adalah sekitar 68 peratus berbanding paras laut.
Manakala pada 15,000 kaki, jumlah itu boleh turun kepada kira-kira 60 peratus.
Keadaan tersebut menyebabkan tubuh perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan oksigen yang mencukupi, sekali gus menjadikan aktiviti menunggang di kawasan tinggi lebih mencabar.
Jangan Abaikan Tanda-Tanda Mabuk Altitud
Antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah Acute Mountain Sickness (AMS) atau mabuk altitud.
Antara simptom yang boleh berlaku termasuk sakit kepala, loya, keletihan, pening, kurang selera makan dan sukar tidur.
Menariknya, keadaan ini bukan hanya berlaku kepada penunggang yang tidak biasa dengan aktiviti lasak.
Mereka yang mempunyai tahap kecergasan tinggi juga tidak semestinya kebal daripada kesan altitud.
Pada peringkat awal, simptom mungkin kelihatan ringan. Namun, jika keadaan semakin teruk, penunggang perlu mengambil tindakan dan tidak memaksa diri meneruskan perjalanan.
Motosikal Pun Boleh ‘Semput’
Bukan tubuh sahaja yang terkesan, motosikal juga boleh mengalami perubahan prestasi apabila berada di kawasan tinggi.
Motosikal yang menggunakan sistem karburetor misalnya lebih mudah mengalami masalah kerana campuran udara dan bahan api berubah apabila ketumpatan udara berkurangan.
Keadaan itu boleh menyebabkan pembakaran kurang sempurna, kuasa enjin menurun dan dalam keadaan tertentu menyebabkan enjin sukar berfungsi dengan baik.
Bagi motosikal dengan sistem suntikan bahan api, perubahan altitud biasanya dapat disesuaikan dengan lebih baik menerusi sistem komputer motosikal.
Namun, prestasi enjin tetap boleh berkurangan apabila semakin tinggi.
Kenaikan Altitud, Kuasa Motosikal Menurun
Menurut sumber ini, kuasa motosikal boleh berkurangan kira-kira tiga peratus bagi setiap kenaikan 1,000 kaki altitud.
Walaupun angka itu kelihatan kecil, kesannya boleh dirasai apabila motosikal perlu mendaki laluan curam atau melalui kawasan teknikal.
Pada masa sama, sistem penyejukan turut berdepan cabaran kerana udara yang lebih nipis kurang berkesan dalam membantu menyejukkan enjin.
Keadaan itu boleh menjadi lebih mencabar ketika motosikal bergerak perlahan di laluan berbatu atau mendaki.
Jangan Terus ‘Redah’, Beri Masa Untuk Badan Sesuaikan Diri
Salah satu perkara penting ketika menunggang di kawasan tinggi ialah proses aklimatisasi atau penyesuaian badan terhadap altitud.
Pendakian secara berperingkat memberikan masa kepada tubuh untuk menyesuaikan corak pernafasan dan meningkatkan penghasilan sel darah merah.
Antara prinsip yang sering digunakan ialah “naik tinggi, tidur rendah”, iaitu menunggang ke kawasan lebih tinggi pada waktu siang sebelum kembali ke altitud lebih rendah untuk berehat jika keadaan mengizinkan.
Jika merancang untuk melalui kawasan melebihi 12,000 kaki, sumber ini mencadangkan penunggang bermalam terlebih dahulu di kawasan altitud pertengahan sekitar 8,000 hingga 9,000 kaki.
Banyakkan Minum Air
Dehidrasi juga boleh menjadi masalah ketika berada di kawasan tinggi.
Udara gunung yang kering menyebabkan kehilangan cecair melalui pernafasan, manakala perubahan pada badan di altitud tinggi turut boleh meningkatkan kehilangan air.
Justeru, penunggang disarankan memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang perjalanan.
Lebih baik minum secara berkala berbanding mengambil air dalam jumlah banyak sekaligus.
Pengambilan elektrolit juga boleh dipertimbangkan bagi membantu menggantikan mineral yang hilang akibat berpeluh dan peningkatan kadar pernafasan.
Pilih Makanan Yang Mudah Membekalkan Tenaga
Keperluan tenaga tubuh turut berubah apabila berada di altitud tinggi.
Sumber ini menyarankan makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, pasta, buah-buahan dan bar tenaga kerana ia boleh menjadi sumber tenaga yang mudah digunakan tubuh ketika oksigen terhad.
Makan dalam jumlah kecil tetapi lebih kerap juga boleh membantu kerana sistem pencernaan mungkin bekerja lebih perlahan di kawasan tinggi.
Alkohol Dan Rokok Elok Dielakkan
Alkohol boleh memburukkan dehidrasi dan mengganggu proses penyesuaian badan terhadap altitud.
Pada masa sama, kesannya juga boleh menyamarkan tanda awal mabuk altitud.
Merokok atau penggunaan produk tembakau pula boleh menambahkan tekanan terhadap sistem pernafasan ketika tubuh sudah berdepan keadaan udara yang lebih nipis.
Bagi mereka yang mengambil ubat tertentu, sumber ini turut menyarankan supaya mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan ke kawasan altitud tinggi.
Kenali Tanda Bahaya
Sakit kepala ringan, keletihan atau kurang selera makan mungkin merupakan tanda awal tubuh sedang bergelut menyesuaikan diri.
Namun, terdapat simptom yang memerlukan tindakan segera seperti sakit kepala teruk yang tidak reda, muntah berterusan, keletihan melampau, kekeliruan atau sukar berjalan.
Keadaan lebih serius seperti High Altitude Pulmonary Edema (HAPE) dan High Altitude Cerebral Edema (HACE) pula boleh mengancam nyawa.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk sesak nafas walaupun ketika berehat, kekeliruan teruk, kehilangan koordinasi dan batuk yang menghasilkan kahak berbuih.
Jika keadaan sebegini berlaku, turun ke altitud lebih rendah dan dapatkan bantuan perubatan segera.
Motosikal Pun Perlu ‘Check-Up’
Sebelum memulakan perjalanan, pemeriksaan motosikal perlu diberi perhatian sama seperti persediaan fizikal penunggang.
Bagi motosikal berkarburetor, pelarasan jetting mungkin diperlukan untuk perjalanan berpanjangan di kawasan tinggi.
Tekanan tayar juga perlu diperiksa secara berkala kerana perubahan tekanan udara boleh mempengaruhi tekanan dalam tayar serta cengkaman motosikal.
Penapis udara pula perlu dipastikan dalam keadaan baik, terutama jika melalui laluan gunung yang berdebu.
Penapis yang tersumbat boleh menjejaskan lagi prestasi enjin yang sudah terkesan akibat udara nipis.
Jangan Lupa Kesan Altitud Kepada Fokus
Cabaran di kawasan tinggi bukan sekadar fizikal.
Kekurangan oksigen turut boleh mempengaruhi keupayaan seseorang untuk memberi tumpuan dan membuat keputusan.
Bagi penunggang motosikal, perkara itu sangat penting kerana laluan gunung memerlukan tindak balas pantas dan pertimbangan yang baik.
Justeru, elakkan mengambil risiko yang tidak perlu dan gunakan gaya tunggangan lebih berhati-hati.
Jika badan mula menunjukkan tanda-tanda tidak mampu menyesuaikan diri, jangan malu untuk berhenti atau mengubah perancangan perjalanan.
GPS Dan Alat Komunikasi Boleh Jadi Penyelamat
Teknologi juga boleh membantu meningkatkan keselamatan ketika berada di kawasan terpencil.
Peranti GPS dan aplikasi telefon pintar tertentu boleh memberikan maklumat altitud serta amaran cuaca.
Namun, suhu sejuk di kawasan gunung boleh menyebabkan bateri lebih cepat berkurangan.
Jadi, penunggang disarankan membawa sumber kuasa tambahan.
Bagi perjalanan yang benar-benar jauh dari liputan telefon, peranti komunikasi satelit juga boleh menjadi pilihan kerana ia membolehkan mesej kecemasan dan lokasi dihantar ketika tiada rangkaian selular.
Bila Perlu Berpatah Balik?
Dalam perjalanan ke kawasan tinggi, mengetahui masa yang sesuai untuk berhenti sama penting dengan mengetahui laluan untuk diteruskan.
Jika simptom altitud semakin teruk walaupun selepas berehat dan mengambil air yang mencukupi, turun ke kawasan lebih rendah merupakan langkah penting.
Tiada apa yang memalukan dengan mengubah laluan atau menangguhkan pendakian.
Gunung tetap berada di situ dan perjalanan boleh diteruskan pada masa lain apabila keadaan lebih sesuai.
Persediaan Jadikan Perjalanan Lebih Menyeronokkan
Menunggang motosikal di kawasan tinggi memang menawarkan pengalaman luar biasa, tetapi ia memerlukan persediaan yang lebih rapi berbanding perjalanan biasa.
Penunggang bukan sahaja perlu memikirkan keadaan motosikal, malah perlu memahami kemampuan tubuh sendiri, perubahan cuaca, bekalan air, makanan, komunikasi dan laluan kecemasan.
Dengan persediaan yang baik dan sikap tidak mengambil mudah terhadap kesan altitud, perjalanan merentasi kawasan pergunungan boleh menjadi pengalaman yang jauh lebih selamat dan bermakna.
Kerana dalam perjalanan ke puncak, bukan sekadar motosikal yang perlu ‘bersedia’, penunggangnya juga perlu tahu bila hendak teruskan dan bila masa untuk berhenti.

