Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Shahrol Shiro Dilantik Sebagai Pengajar Kursus Citra, Ini Kenyataan UKM

UKM Sahkan Pelantikan Shahrol
Kredit: UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengesahkan pelantikan pelawak dan pengacara Shahrol Azizie Azmi sebagai tenaga pengajar sambilan Citra Universiti di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).

Dalam satu kenyataan, UKM berkata Shahrol atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro akan menggalas tanggungjawab tersebut bagi kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada stand-up comedy.

Menurut UKM, Shahrol hanya akan memberikan latihan amali dan praktikal tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah.

UKM Sahkan Pelantikan Shahrol Shiro

“UKM ingin memaklumkan pelantikan En. Shahrol Azizie Azmi atau Shahrol Shiro di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakonan yang mengkhususkan kepada stand-up comedy.

“Melalui lantikan ini, beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal sahaja tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah,” kata kenyataan itu.

Tambah UKM, lantikan tersebut dilakukan berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.

“Kursus Citra UKM (Seni Lakonan) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar UKM bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan,” ujar UKM.

Selain itu, FPSC juga adalah fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.

Sebelum ini, Shahrol telah berkongsi menerusi satu hantaran di Instagram berkenaan perlantikannya sebagai tenaga pengajar di UKM.

Menerusi hantaran Shahrol, dia mengajar kursus LMCZ1512 Seni Lakon 1 untuk Semester 1 Sesi 2026/2027.

Intipati
  • UKM mengesahkan Shahrol Shiro dilantik pengajar sambilan kursus Seni Lakon di FPSC.
  • Peranan Shahrol terhad kepada latihan amali dan praktikal, tanpa pengajaran dalam kuliah.
  • UKM berkata pelantikan itu berdasarkan pengalaman Shahrol dalam seni persembahan dan produksi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan