Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Universiti Cyberjaya (UoC) hari ini secara rasmi melancarkan perpustakaan yang telah dinaik taraf, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan universiti untuk memperkukuh ekosistem akademik serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bersedia menghadapi masa depan untuk para pelajarnya.
Perpustakaan yang dinaik taraf itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam satu majlis yang turut dihadiri barisan kepimpinan universiti, tenaga pengajar, pelajar serta tetamu jemputan.
Dalam ucapan perasmian beliau, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan kepentingan persekitaran pembelajaran yang sentiasa berkembang dalam memperkukuh landskap pendidikan tinggi negara:
“Dalam persekitaran hari ini, akses kepada pendidikan semata-mata tidak lagi mencukupi. Sama pentingnya ialah keupayaan institusi untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang relevan, adaptif dan bersedia untuk masa hadapan. Universiti masa kini perlu melangkaui peranan sebagai pusat penyampaian ilmu semata-mata. Ia perlu menjadi ekosistem yang memupuk inovasi, pemikiran kritikal dan pembelajaran sepanjang hayat.”
Pengerusi Cyberjaya Education Group Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Shahrom bin Dato’ Hj. Nordin (Bersara), berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan dalam memperkukuh persekitaran akademik universiti:
“Naik taraf Perpustakaan Universiti Cyberjaya mencerminkan komitmen kami untuk terus melabur dalam infrastruktur yang menyokong keperluan pelajar dan warga akademik yang sentiasa berubah. Dengan mempertingkat akses kepada sumber digital serta mewujudkan ruang yang menggalakkan kerjasama dan inovasi, kami sedang membina persekitaran yang membolehkan pelajar kami terus cemerlang dalam landskap pendidikan yang pesat berubah.”
Naib Canselor Universiti Cyberjaya, Prof. Dr. David Whitford, berkata perpustakaan yang dinaik taraf itu mencerminkan visi progresif universiti serta nilai keterangkuman dan kerjasama dalam komuniti kampus:
“Perpustakaan Universiti Cyberjaya yang dinaik taraf bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pembelajaran, malah menjadi platform yang menghimpunkan pelajar, ahli akademik dan rakan industri untuk bekerjasama, bertukar idea dan mencipta inovasi. Dengan memperluas akses kepada sumber digital dan ilmu global, kami memperkukuh keupayaan untuk memupuk pemikiran kritikal, mempertingkat kapasiti penyelidikan serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan.”
Direka sebagai perpustakaan akademik moden berteraskan digital, kemudahan yang dinaik taraf ini menandakan peralihan daripada model tradisional berfokuskan buku kepada hab ilmu yang lebih kolaboratif serta diperkasa teknologi.
Dengan kapasiti menempatkan kira-kira 600 pelajar pada satu-satu masa, perpustakaan ini menyediakan persekitaran seimbang untuk pembelajaran senyap, perbincangan berkumpulan serta interaksi rentas disiplin antara pelajar, ahli akademik dan rakan industri.
Kemudahan ini juga menawarkan akses kepada 22,309 naskhah fizikal serta lebih 29 juta sumber digital, termasuk pangkalan data akademik dan e-jurnal yang menyokong pelbagai bidang pengajian serta keperluan penyelidikan.
Projek ini melibatkan jumlah pelaburan sekitar RM1.49 juta, mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh infrastruktur akademik serta meningkatkan keseluruhan pengalaman pembelajaran pelajar.
Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk ruang perbincangan kolaboratif, bilik pembelajaran pintar, zon pembelajaran senyap, terminal akses digital serta ruang pembelajaran fleksibel yang menyokong keperluan pembelajaran individu dan berkumpulan.
Majlis pelancaran turut merangkumi ucapan perasmian dan sesi menandatangani plak oleh Menteri Pendidikan Tinggi, diikuti upacara memotong reben serta lawatan berpandu ke fasiliti perpustakaan yang dinaik taraf.
Diadakan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri universiti, acara ini turut mencerminkan nilai perpaduan, keterangkuman dan kebersamaan yang menjadi teras komuniti universiti dengan menghimpunkan pelajar, tenaga pengajar dan rakan strategik dalam ruang bersama bagi pembelajaran, refleksi dan kemajuan.
Inisiatif ini menegaskan semula komitmen berterusan universiti dalam memupuk persekitaran akademik yang inklusif dan progresif, sekali gus melengkapkan pelajar dengan kemahiran, ilmu pengetahuan serta sumber yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang semakin digital dan saling berhubung.