Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Untuk Waris..." Ahli Pengurusan Dedah Empat Kesilapan Ahli Keluarga Ketika Urus Jenazah

Athirah
Ahli Keluarga
Kredit: Bernama
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

"Untuk Waris..." Ahli Pengurusan Dedah Empat Kesilapan Ahli Keluarga Ketika Urus Jenazah

“Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya juga kita kembali.” Surah Al-Baqarah ayat 156.

Pasti kita seringkali dengar ayat ini dalam mana-mana hantaran sama ada individu yang telah meninggal dunia atau dalam kuliyah agama.

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk mempelajari ilmu pengurusan jenazah kerana ia merupakan fardu kifayah yang perlu diambil berat oleh setiap Muslim, tanpa mengira lelaki atau perempuan.

Dalam masa yang sama, proses ini menuntut ketenangan, kesabaran serta ketelitian daripada ahli keluarga dan pihak yang menguruskannya, demi memastikan jasad si mati dimuliakan dengan sebaik-baiknya buat kali terakhir.

"Banyak perkara yang saya terkilan apabila berlakunya kematian"

Baru-baru ini, seorang lelaki yang terlibat dalam bidang pengurusan jenazah tampil mendedahkan empat kesilapan yang kerap berlaku ketika berlakunya kematian.

Menerusi hantaran @ahmdfkhrll._ di Threads, beliau berkongsi antara kesilapan yang sering berlaku ialah waris tidak mengetahui lokasi masjid atau tempat pengurusan jenazah di kawasan mereka.

Jelasnya, sebagai seorang Muslim, perkara pertama yang wajar dilakukan apabila berpindah ke tempat baharu ialah mencari masjid atau surau berhampiran.

Di situlah kita boleh memperoleh pelbagai maklumat penting, bukan sahaja berkaitan aktiviti masjid, malah informasi tentang fasiliti setempat, nombor telefon jawatankuasa masjid serta kemudahan awam yang disediakan.

Jangan sehingga berlaku kecemasan, barulah kita tercari-cari pihak yang perlu dihubungi.

Seterusnya, terdapat waris lelaki mahupun perempuan yang berasa takut dan segan untuk terlibat dalam pengurusan jenazah.

"Saya faham, ada dalam kalangan kita yang benar-benar takut untuk menguruskan jenazah kerana bimbang berlaku sesuatu kepada diri sendiri atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan

"Jangan risau. Ahli jawatankuasa masjid sentiasa bersedia membantu dari awal hingga akhir proses pengurusan

"Jangan hanya berdiam diri di satu sudut sambil memandang jenazah. Jenazah tersebut adalah orang yang dulunya menjaga kamu

"Balas la budinya untuk kali terakhir menguruskan dia ke rumah baru," kata @ahmdfkhrll._.

Bagi waris lelaki, belajarlah cara untuk solatkan jenazah.

Tidak salah jika orang lain yang mengimamkan solat jenazah, namun alangkah ruginya sebagai anak atau ahli keluarga jika kita tidak mengambil peluang membalas jasa si mati dengan menyolatkannya sendiri.

Solat jenazah mempunyai empat kali takbir dan tiada rukuk serta tiada sujud

Pertama sekali ialah niat. Niat boleh dibaca di dalam hati dan itu sudah memadai.

@ahmdfkhrll._ turut berkongsi lafaz dalam istilah Bahasa Melayu bagi memudahkan orang ramai memahami maksudnya.

Jenazah lelaki:

“Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah kerana Allah Taala.”

Jenazah perempuan:

“Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah kerana Allah Taala."

  • Takbir pertama (AllahuAkbar)

Baca alfatihah

  • Takbir kedua (AllahuAkbar)

Baca selawat ke atas Nabi SAW

  • Takbir ketiga (AllahuAkbar)

Baca doa ringkas "allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu anhu"

  • Takbir keempat yang terakhir (AllahuAkbar)

Baca "Allahumma la tahrimna ajrahu wa la taftinna ba’dahu"

Kemudian boleh bagi salam.

Perkara terakhir, apabila jenazah hendak diturunkan ke dalam liang lahad, sambutlah ‘dia’ buat kali terakhir di dalam liang tersebut.

Jangan risau tentang pakaian yang mungkin kotor terkena tanah atau bimbang dimarahi penggali kubur, kerana tiada siapa yang akan memarahi kita dalam situasi itu.

Sumber:Threads