Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Usia Bukan Penghalang, Nenek 78 Tahun Kini Penstrim Fortnite Tertua Dunia

Nenek 78 tahun
Kredit: Guinness World Records

Seorang nenek berusia 78 tahun dari Scotland mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai penstrim wanita tertua bagi permainan Fortnite di dunia oleh Guinness World Records.

Cath Bowie, yang berasal dari Moray dan kini menetap di Inverurie, mula bermain permainan dalam talian itu pada 2017 dan kini mempunyai lebih 24,000 pengikut.

Nenek 78 Tahun kini penstrim Fortnite tertua dunia

Menariknya, Cath diperkenalkan kepada Fortnite oleh cucunya yang ketika itu berusia 17 tahun.

Sejak itu, dia terus aktif bermain dan tidak menganggap usia sebagai penghalang untuk menceburi dunia permainan video.

“Seseorang tidak pernah terlalu tua untuk mula bermain permainan video,” katanya.

Dikenali dengan nama pengguna grumpygran1948 dalam Fortnite, Cath kini turut dipaparkan dalam Guinness World Records Gamer's Edition 2027.

Kredit: Guinness World Records

Fortnite merupakan antara permainan video paling popular di dunia yang membolehkan sehingga 100 pemain bersaing untuk menjadi individu terakhir yang bertahan dalam permainan.

Cath pernah mencuba beberapa permainan video sebelum ini, namun tidak ada yang benar-benar menarik minatnya sehinggalah dia menemui Fortnite.

“Saya terus ketagih bermain,” katanya.

Bermula kerana cabaran cucu

Selepas mula berminat dengan permainan itu, Cath membeli konsol miliknya sendiri. Namun, cucunya pada ketika itu tidak menyangka neneknya mampu mengumpulkan pengikut sebagai penstrim.

“Sebagai seorang lelaki muda, dia tidak percaya neneknya akan melakukan perkara seperti ini dan mencadangkan bahawa tiada siapa yang akan menyertai atau menonton saya,” katanya.

Menurut Cath, kata-kata cucunya itu menjadi cabaran buat dirinya untuk membuktikan bahawa dia mampu melakukannya.

“Bagi saya, itu seperti mencabar seekor lembu jantan. Saya mahu membuktikan kepadanya bahawa saya boleh melakukannya.

“Selepas mempunyai 24,000 pengikut, dia sudah tidak menyebut perkara itu lagi. Saya tertanya-tanya mengapa?” katanya secara berseloroh.

Kredit: BBC

Cath berkata dia menyukai cabaran yang ditawarkan permainan berkenaan dan bermain Fortnite setiap hari.

Dalam temu bual bersama program BBC Radio Scotland Breakfast, Cath berkata dia bermain mod Battle Royale Last Man Standing secara solo, berdua atau dalam kumpulan.

“Permainan ini sangat menyeronokkan. Kita cuba menewaskan pihak lawan dan menyingkirkan mereka.

“Tiada darah dalam permainan. Kita hanya menembak seseorang dan mereka sama ada merangkak sehingga tersingkir atau terus lenyap selepas satu tembakan. Jadi tiada keadaan yang bersepah atau seumpamanya,” katanya.

Persahabatan lebih penting

Bagaimanapun, bagi Cath, perkara paling bermakna bukan sekadar permainan itu sendiri, sebaliknya komuniti yang terbentuk dalam kalangan pemain.

“Saya bermain bersama orang yang sangat baik dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand dan Australia.

“Sangat menyeronokkan dapat bertemu dengan mereka. Kami berbual dan ia sangat menyenangkan. Ada antara mereka yang sudah bermain bersama saya selama beberapa tahun,” katanya.

Sementara itu, Editor Guinness World Records Gamer's Edition 2027, Alice Bell, berkata pihaknya percaya bahawa dunia permainan video terbuka kepada semua golongan.

“Edisi ini mengetengahkan pemain daripada pelbagai generasi dan budaya dari seluruh dunia,” katanya.

Intipati
  • Cath Bowie, 78, diiktiraf sebagai penstrim wanita tertua Fortnite oleh Guinness World Records.
  • Beliau mula bermain pada 2017 selepas diperkenalkan kepada Fortnite oleh cucunya yang remaja.
  • Cath berkata komuniti pemain antarabangsa menjadi antara perkara paling bermakna dalam pengalaman permainannya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan