Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Video Nenek Baca Yasin Luar Dewan: Perkongsian Kakak Undang Hiba
Tidak dinafikan, jauh di dalam lubuk hati setiap anak, pastinya tersemat satu ketakutan yang paling dalam iaitu kehilangan ibu bapa yang menjadi tempat bertaut, tempat berlindung yang tiada gantinya.
Setiap daripada kita pastinya tidak dapat membayangkan bagaimana saat paling menyakitkan dalam hidup ini, saat di mana insan tercinta tidak lagi berada di sisi, tidak lagi menyambut kita dengan senyuman dan pelukan hangat kasih sayang mereka.
Hanya mereka yang pernah melalui situasi ini memahami bagaimana peritnya rindu yang tiada penghujung.
Itulah kisah menyayat hati yang dikongsikan oleh kakak kepada pelajar yang tular apabila neneknya hadir membaca Yasin sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar dewan yang lalu.

Dalam hantaran pemilik TikTok @fyqaforsure atau Afiqah, berkongsi kisah duka yang merobek hati ramai apabila mengetahui perkara sebenar disampaikan oleh doktor yang merawat ibunya.
“Semasa saya membaca nota penjagaan paliatif daripada doktor Mama, dia beritahu bahawa perkara utama yang Mama bimbang adalah anak lelakinya (Afif) yang tinggal di sekolah berasrama dan akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun itu,” katanya.
“Bila Mama pergi, Afif sentiasa terlintas dalam fikiran kakak sepanjang perjalanan panjang dari Klang ke Lenggong.
“Pada masa itu, dia baru berusia 17 tahun, dengan hanya satu kertas peperiksaan percubaan yang tinggal sebelum menghadapi peperiksaan utama tidak lama lagi.
“Saya tidak pernah bayangkan budak kecil yang saya kenal dulu akan membesar jadi seorang yang kuat.
“Kakak sangat bangga dengan kamu, Afif. Jangan risau kami sentiasa ada dibelakang untuk sokong Aifif, tidak kira apa pun yang berlaku.
“Tahniah, adik kakak. Kami sangat sayang kamu,” kongsi kakaknya lagi.
Difahamkan, ibu kepada Afif dijemput Ilahi pada Oktober 2024.
Sebelum ini, video nenek Afif membaca Yasin di luar dewan sekolah kembali tular selepas dia meraih semua A SPM dalam mata pelajaran yang diambil.
Perkongsian itu nyata meruntun hati ramai warga maya yang turut bersimpati dengan keadaan yang dilalui Afif. Malah ada yang turut berkongsi momen pilu yang dilalui oleh mereka.
” Afif! Mewakili semua pihak ibu, tahniah dan jaga diri baik-baik. Terima kasih kakak Afif kerana jaga Afif dan senangkan hati arwah Mama. Semoga kamu bertemu di Syurga,” komen seorang pengguna.
“Video nenek tunggu Afif luar dewan tu dah sedih dah, lahhhh baca kisah disebaliknya ni lagi sedih,” komen seorang lagi.
Sumber: TikTok @fyqaforsure