Wanita Kongsi Cara Mudah Hasilkan Sarung Bantal Dengan Kain Batik
Kain batik merupakan salah satu pakaian yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan.
Selain dari dipakai oleh kaum wanita, ia juga boleh dijadikan sebagai hiasan, sebagai alas, dan ia juga boleh diolah dan dijahit untuk dijadikan baju, seluar, beg dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, coraknya yang cantik dan menarik juga kadangkala mampu menaikkan seri di sesuatu ruang sekiranya ia digunakan sebagai hiasan.
Bagi golongan yang lebih kreatif lagi, kain batik ini juga boleh dijadikan sebagai sarung bantal.
Biasanya, sarung bantal yang dibeli sudah siap dijahit rapi dengan coraknya yang tertentu.
Namun, apa salahnya jika kita gunakan kreativiti kita untuk menggantikan sarung bantal sedia ada tersebut dengan kain batik yang ada di rumah.
Justeru, ikuti perkongsian dari salah seorang pengguna Facebook, Juliah Ratu Alesha mengenai cara untuk hasilkan sarung bantal yang unik dan cantik.
Hasilkan sarung bantal dengan kain batik
Pertama, apa yang anda perlu cuma kain batik dan bantal mengikut saiz yang anda ingin gunakan. Kemudian, hamparkan kain tersebut dan letakkan bantal di tengah-tengahnya.

Selepas itu, lipat sisi kiri dan kanan kain tersebut ke atas menutupi permukaan atas bantal.

Kemudian, balikkan bantal tersebut dan lipatkan ia ke atas untuk dikemaskan. Selepas itu, ambil bahagian kain yang sudah dilipat tadi dan sarungkan ia menutupi bantal.

Akhir sekali, kemaskan jika ada lebihan kain batik yang terkeluar.
Video berkenaan mendapat 1.5 juta tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ramai pengguna Facebook memuji idea kreatif tersebut serta menyukai hasil akhir yang ditunjukkan. Dalam masa sama, mereka turut mengucapkan terima kasih di atas perkongsiannya.
Setakat ini, perkongsian tersebut juga telah memperoleh 1.5 juta tontonan dan reaksi dari warga maya.
“Wow tak perlu jahit pun,” komen warga maya.
“Bagusnya. Cantik dan rapi hasilnya,” komen seorang lagi.
“Cantiknya, tip ni sangat bermanfaat,” komen seorang lagi warga maya yang lain.

