Wanita Tawar Ganjaran Lebih RM23,000 Kepada Umum, Bantu Carikan Jodoh
Bosan kerana masih bujang, seorang wanita menawarkan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang berjaya menemukannya dengan seorang lelaki untuk dijadikan suami, lapor New York Post.
Wanita bernama Eve Tilley-Coulson, 35, yang merupakan seorang peguam litigasi korporat dari Los Angeles itu menawarkan ganjaran tersebut kerana sudah penat mencari jodoh.
“Dahulu, saya memberitahu rakan saya bahawa saya akan membayar mereka USD5,000 jika mereka memperkenalkan saya kepada seorang suami,” kata Eve.
Pada bulan Jun lalu, wanita berambut perang itu kemudiannya membuat hantaran tersebut di akaun TikTok miliknya.
“Jika anda memperkenalkan saya kepada seorang lelaki dan saya berkahwin dengannya, saya akan memberi anda USD5,000 (RM23,260),” kata wanita itu di hantaran tersebut.
Tawaran yang menarik perhatian itu kemudiannya mendapat lebih daripada 500,000 tontonan. Muat naik itu juga telah mendapat lebih 20 hingga 25 perkenalan digital bagi pasangan hidupnya melalui orang tengah.

“Saya belum pergi mana-mana janji temu lagi,” kata Eve, sambil menambah bahawa kebanyakan perantaranya adalah wanita yang terpukau dengan tawaran tersebut.
“Ramai yang bermotivasi untuk membantu,” tambahnya lagi.
Bosan hidup ‘single’ sejak lima tahun lalu
Menurut Eve, dia telah bersendirian kira-kira sejak lima tahun yang lalu dan mengalami kesukaran untuk mencari pasangan sejak terjadinya Covid-19.
“Saya telah membujang kira-kira lima tahun. Tetapi sejak COVID, terdapat perubahan aneh dalam kalangan cara temu janji. Lelaki tidak mendekati anda secara peribadi.
“Kebanyakan lelaki yang ditemui dalam aplikasi tidak bercadang untuk mempunyai hubungan yang serius,” kata Eve lagi berkongsi pengalamannya.
Walau bagaimanapun, Eve telah meletakkan beberapa syarat berkenaan dengan bakal suaminya yang bakal diperkenalkan kelak.
BACA: Lelaki Ajar Teknik Mudah Guna “Chopstick”, “Confirm” Ramai Boleh Buat
Antara syarat yang diletaknya ialah lelaki itu harus bersedia untuk berumah tangga dan bujang yang paling penting.
Selain itu, bakal calon juga berumur sekitar 27 hingga 40 tahun dan mempunyai ketinggian 5’11 ke atas. Bonus jika lelaki tersebut kelakar dan menyayangi haiwan dan kanak-kanak.
Eve juga berkata bahawa dia tidak berkira bab rupa dan dia tidak kisah sama ada lelaki tersebut mempunyai ijazah dan kereta atau tidak.
Dia juga tidak menolak untuk perhubungan jarak jauh demi mendapatkan jodoh yang diimpikan.
Sumber: New York Post
