Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Yayasan ASEAN Lancar ASEAN Digital Outlook dan Pratonton Pertama Kajian Tahap Kesiapsiagaan AI

Yayasan ASEAN dengan sokongan Google.org hari ini secara rasmi melancarkan ASEAN Digital Outlook serta memperkenalkan dapatan awal AI Ready ASEAN Research sempena AI Ready ASEAN 3rd Regional Policy Convening di Manila, Filipina.

Dibangunkan bersama Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM), ASEAN Digital Outlook memberi gambaran keseluruhan tentang tahap pembangunan digital di rantau ini, termasuk infrastruktur, sistem sokongan dan kesediaan institusi.

Kedua-dua kajian ini juga menyokong usaha program AI Ready ASEAN, yang setakat ini telah membantu lebih 5 juta individu meningkatkan literasi AI, melatih lebih 100,000 peserta secara mendalam, serta memperkasa lebih 3,000 jurulatih utama di seluruh ASEAN.

Perkembangan ini berlaku ketika teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan sangat pantas, sekali gus mengubah ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam di rantau ini. Dengan populasi melebihi 660 juta orang — hampir satu pertiganya berumur bawah 20 tahun — penggunaan AI secara bertanggungjawab amat penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan, kemahiran baharu dan keterangkuman sosial pada masa hadapan.

Ekonomi digital ASEAN pula dijangka meningkat daripada USD300 bilion kepada USD1 trilion menjelang 2030. Walaupun membuka peluang besar, ia turut membawa risiko baharu. Justeru, penggunaan AI yang selamat, inklusif dan terkawal kini menjadi keutamaan. Kedua-dua kajian ini membantu memberi gambaran yang lebih jelas tentang tahap kesediaan sebenar negara dan komuniti, bukan sekadar tahap penggunaan teknologi.

“Di seluruh ASEAN, penggunaan AI berkembang lebih pantas daripada keupayaan sistem kita untuk mengawalnya,” kata Dr. Piti Srisangnam, Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN. “Kajian ini membantu kita memahami sama ada institusi, pendidik dan komuniti benar-benar bersedia. Data seperti ini penting untuk merangka dasar yang melindungi orang ramai dan memastikan AI memberi manfaat kepada semua.”

ASEAN Digital Outlook menilai tahap infrastruktur digital, keselamatan siber dan tadbir urus di setiap negara ASEAN. Walaupun beberapa negara telah mencapai kemajuan dalam memperkukuh infrastruktur digital, kajian ini menunjukkan tahap kematangan digital dan keupayaan institusi yang tidak sekata di seluruh rantau ini. Jurang berterusan dalam kemahiran digital, kepercayaan awam, kesiapsiagaan keselamatan siber, serta penggunaan teknologi secara bertanggungjawab menyerlahkan keterbatasan pendekatan nasional yang berperingkat.

Sementara itu, AI Ready ASEAN Research memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, melibatkan pelajar, guru dan ibu bapa. Kajian mendapati ramai sudah menggunakan AI, tetapi tahap pemahaman dan kesediaan sebenar masih rendah, terutama dari segi literasi AI dan pengetahuan etika.

Pelajar sering menjadi pengguna awal teknologi AI. Namun, guru dan ibu bapa menghadapi cabaran seperti kurang keyakinan, panduan dan latihan formal.

Di Malaysia, lebih 50% guru telah mengikuti kursus berkaitan AI, manakala kira-kira 75.73% pelajar belum menerima latihan AI secara formal. Guru dan ibu bapa mencatat tahap literasi AI yang tinggi, walaupun mereka kurang yakin dengan kebolehan sendiri. Sebaliknya, pelajar lebih yakin tetapi tahap pengetahuan sebenar masih terhad, sekali gus mendedahkan jurang antara persepsi dan keupayaan yang berpotensi membawa kepada penggunaan alat AI secara tidak wajar.

Secara keseluruhan, dapatan kajian menunjukkan penggunaan AI berkembang lebih pantas daripada tahap kesediaan institusi dan komuniti. Pada masa yang sama, risiko seperti penipuan dalam talian, penyalahgunaan deepfake, maklumat palsu dan kebocoran data semakin meningkat, sekali gus menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap teknologi digital.

“Akses kepada teknologi sahaja tidak mencukupi,” kata Marija Ralic, Ketua Google.org APAC. “Kita perlu faham bagaimana AI berfungsi, hadnya dan cara menggunakannya secara beretika. Sebab itu, pelaburan dalam literasi AI, terutama untuk pendidik dan komuniti, sangat penting supaya kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada semua.”

Melalui pelancaran kedua-dua kajian ini, Yayasan ASEAN menyediakan data dan panduan bagi membantu pembuat dasar, pendidik dan rakan pembangunan merancang langkah yang lebih berkesan untuk memperkukuh literasi digital, kesiapsiagaan AI dan pertumbuhan yang lebih inklusif di rantau ASEAN.