Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Zulfaqar Buktikan Cerebral Palsy Bukan Penghalang, Mampu Joging Lebih 5km
Kehidupan ini tidak selalunya indah dan setiap orang mempunyai cabaran yang tersendiri. Sebagai manusia, kita sememangnya tidak akan terlepas dari pelbagai ujian.
Ada yang diuji dari segi mental dan ada juga yang perlu berjuang dengan keadaan fizikal yang tidak seperti orang lain.
Pun begitu, kekurangan tersebut tidak semestinya menjadi penghalang untuk seseorang mencapai sesuatu yang dianggap mustahil.
Itu yang ditunjukkan oleh Zulfaqar Aslam yang dilahirkan dengan penyakit cerebral palsy. Jika ada yang mengingati, Zulfaqar sebelum ini pernah tular kerana berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2025.
Dia yang juga merupakan pencipta kandungan di media sosial dipuji kerana cekal berjuang untuk menamatkan pengajian walaupun fizikalnya terbatas sedikit berbanding dengan pelajar lain.


Terbaru, Zulfaqar sekali lagi mencuri tumpuan apabila berkongsi perkembangannya yang kini boleh berjoging dalam jarak yang jauh.
"Semakin lama semakin bertambah baik joging saya," katanya.
Menurutnya, dia boleh berjoging sejauh 5.15 kilometer dalam masa 1 jam 31 minit.

Sejak beberapa hari lalu, Zulfaqar berkongsi pencapaiannya dan berterima kasih kepada warga net yang terus memberikan kata-kata semangat kepadanya.
"Langkahku tidak mudah tapi InsyaAllah pasti ada jalan ku sendiri walau apa jua keadaanku.
"Walaupun lambat, asalkan rasa puas untuk menikmati joging," ujarnya.
Ramai yang memberikan semangat kepadanya dan berdoa agar segala urusannya dipermudahkan.
"Saya yang normal ni pun, Allahu, 3km pun payah ye," kata seorang netizen.
"Bang, tengok usaha abang, buat saya malu. Doakan saya kekal istiqamah ya untuk kekal sihat. InsyaAllah saya doa untuk abang sihat selalu amin," kata seorang lagi.
Pelakon, Kamal Adli, turut memuji usaha yang ditunjukkan oleh Zulfaqar.

Dalam dunia yang sering meletakkan batasan terhadap kemampuan seseorang, Zulfaqar membuktikan bahawa dia juga mampu melakukan perkara yang dianggap mustahil.
Semoga Zulfaqar terus memberi inspirasi kepada orang ramai!