Siakap Keli

(Video)Suasana Ngeri Banjir Besar Dan Pokok Berterbangan, Taufan Mangkhut Landa Filipina Ragut Puluhan Nyawa

Selepas Jepun, giliran Filipina pula dibadai taufan apabila Taufan Mangkhut yang melanda negara tersebut telah menyebabkan berlaku kemusnahan ketara terhadap rumah kediaman dan premis perniagaan. Dianggarkan kira-kira 25 orang terkorban setakat ini.

Taufan yang sama ketika ini dalam perjalanan menuju ke wilayah berpantai negara China. Menurut laporan portal berita antarabangsa, Taufan Mangkhut yang dianggap sebagai terkuat untuk tahun ini, pertama kali melanda kawasan pertanian di daerah Luzon yang menyebabkan tumbuh-tumbuhan tercabut daripada tanah dan berlakunya kejadian tanah runtuh, beberapa bulan sebelum musim menuai tiba.

Biarpun jumlah kematian dianggarkan seramai 25 orang ketika ini, pihak berkuasa menjangkakan jumlahnya mungkin bertambah ketika kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat untuk berhubung dengan daerah terjejas yang menempatkan lebih lima juta penduduk. Kesukaran yang dihadapi juga berpunca daripada jaringan sistem komunikasi dan tenaga yang tergendala di daerah berkenaan.

Manakala di daerah utara Baggao, taufan yang sama menyebabkan berpuluh-puluh buah rumah roboh selain sistem jalan raya yang terputus akibat kejadian tanah runtuh.

”Ramai penduduk di sini adalah orang yang miskin, apabila bencana ini berlaku kami terasa seperti hilang harapan,” kata Mary Anne Baril, 40, yang menanggung kerugian akibat sawah padi miliknya rosak teruk dalam bencana alam tersebut.

”Kami tidak tahu bagaimana mahu meneruskan kehidupan,” katanya lagi.

Dianggarkan lebih daripada 100 ribu orang mula meninggalkan kawasan penempatan di daerah berkenaan selepas dibadai taufan.

Secara purata, sekitar 20 kejadian taufan dan ribut melanda negara tersebut setiap tahun yang meragut ratusan nyawa dan menjejaskan kehidupan penduduk yang kebanyakkannya dihimpit dengan kemiskinan.

Antara kes-kes kematian yang direkodkan akibat angin taufan termasuklah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, kematian lemas dan ditimpa runtuhan bangunan.

Pada 2013, Filipina merekodkan bencana taufan terburuk, apabila Taufan Haiyan memhentam negara berkenaan dan meragut sekurang-kurangnya 7,350 nyawa dan berpuluh-puluh lagi hilang.

Walaupun kekuatan Mangkhut dianggap semakin berkurang ketika taufan berkenaan melalui Filipina, namun ia masih membawa angin berkelajuan 175 kilometer per jam ketika taufan yang sama sedang menuju ke daerah padat penduduk di China.

BACA : (Video) Ngeri, Imej Satelit Papar 9 Putaran Taufan Raksasa, Tiga Daripadanya Menuju Ke Asia Tenggara

Sumber : Channel News Asia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.