Siakap Keli

Suspek Lelaki Kematian Nur Aisyah Aleya Didakwa Esok

Suspek lelaki kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di dalam sebuah gaung di Gunung Raya, pada 6 Mac lepas, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek lelaki berusia 37 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Razali Che Ani yang telah bersetuju untuk menuduh suspek lelaki tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek kedua iaitu wanita berusia 40 tahun dibebaskan dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, pasangan suami isteri itu direman bermula 7 Mac bagi membantu siasatan selepas penemuan tengkorak, gumpalan rambut dan dua batang gigi dipercayai milik Nur Aisyah Aleya Abdullah, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya semasa dalam jagaan mereka.

Mohd Iqbal berkata hasil analisis ke atas dua batang gigi yang ditemukan di lokasi tersebut oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, berpadanan dengan sampel darah ibu kandung kanak-kanak itu.

“Selain analisis dua batang gigi itu, analisis darah pada bantal dan darah pada toto (selimut tebal) yang dirampas di rumah suspek adalah berpadanan dengan DNA  Nur Aisyah Aleya,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra