Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 56 tahun mendakwa dirinya seperti dipukau dalam kejadian yang berlaku sekitar 11 pagi semalam, di sebuah pasar tani di Maran dekat sini.
Mangsa mendakwa suspek dan seorang yang disyaki dari negara jiran berdasarkan loghat percakapannya, telah bertanya mengenai kedudukan kedai buku sebelum menyerahkan batu tersebut.
“Suspek dikatakan telah menilik mangsa dan mengatakan dirinya boleh menggunakan batu itu untuk tujuan melariskan perniagaan dan secara tiba-tiba mereka mengikut mangsa ke keretanya.
“Mangsa mendakwa dirinya seperti dipukau untuk menuruti arahan suspek supaya membuka gelang emasnya untuk dimasukkan ke dalam sampul surat sebelum mereka beredar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang kerani wanita berusia 57 tahun di daerah ini mendakwa diperdayakan syarikat pemberi pinjaman wang tidak wujud sehingga kerugian RM4,272.
“Mangsa mendakwa melihat iklan tawaran pinjaman itu di laman sosial pada 16 Okt lalu dan berminat meminjam RM10,000 bagi membayar yuran pengajian anaknya.
“Suspek yang berurusan dengan mangsa mendakwa terdapat bayaran perlu dijelaskan terlebih dahulu bagi membersihkan nama yang disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) selain bayaran cukai dan peguam,” katanya.
Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa membuat transaksi bayaran itu sebanyak dua kali menggunakan mesin deposit tunai, namun sehingga kini tidak pernah menerima wang yang dijanjikan.