Siakap Keli
Kredit: Toughest Cars

(Video) Muka Sampai Terherot & Ada Yang Pengsan, Beban G-Force Yang ”Fighter Pilot” Tanggung Demi Negara

Kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang sememangnya memiliki kelas yang hebat di mata orang awam. Memandu pesawat tempur berteknologi tinggi membelah langit pastinya membuatkan ramai anak muda bercita-cita untuk duduk di kerusi juruterbang pesawat berkenaan.

Namun sebagai orang awam, ramai yang mungkin tidak tahu bentuk ujian yang menanti bakal juruterbang tersebut. Paling kuat pun sekadar dengar-dengar juruterbang sebenar berkongsi cerita, itupun jika anda bernasib baik untuk bertemu dengan salah seorang daripada mereka.

latihan juruterbang pesawat pejuang angkasawan
Juruterbang pesawat pejuang sedang beraksi. (Kredit: Air Force Times)

Latihan juruterbang pesawat pejuang dan angkasawan

Salah satu latihan yang wajib mereka duduki adalah ujian High-G Force.

Untuk memudahkan pemahaman, mari kita baca penjelasan ahlinya, Dr Azwan mengenai daya G.

“G” itu membawa maksud sebagai “Gravity (Graviti)” manakala Force atau Daya adalah berkaitan dengan Pecutan iaitu berlaku semasa kita mengubah kelajuan sama ada dari perlahan ke lebih laju atau sebaliknya.

Oleh itu, dalam kehidupan seharian, semasa anda memandu kereta dan meningkatkan kelajuan atau membelok, semuanya berkaitan dengan G Force. Cuma nilai daya yang dikenakan sama ada kecil atau besar bergantung kepada pemanduan anda.

  • G Force yang berlaku pada objek pegun di atas permukaan bumi adalah sebanyak 1 g.
  • G Force yang berlaku pada objek yang jatuh-bebas di dalam bekas vakum adalah 0 g.
  • Tetapi jika sesuatu objek mula memecut, G Force yang terhasil adalah lebih daripada 1 g.

Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai berat 60kg dan pegun (tidak bergerak), beliau dikenakan G Force sebanyak 1g. Oleh itu berat beliau masih lagi 60kg.

Tetapi jika beliau berada di dalam kereta yang membrek, membelok dan memecut, beliau akan merasai G Force yang lebih daripada 2g.

Pada nilai G Force 3 g, berat beliau akan bertambah sebanyak 180kg untuk beberapa saat bergantung kepada berapa lama nilai 3 g yang dialami.

Bayangkan jika anda sedang memecut laju contohnya di dalam superbike atau kereta lumba atau roller-coaster atau yang lebih hebat lagi jet pejuang yang tentunya mempunyai kuasa pecutan yang sangat besar.

Badan anda akan menanggung berat yang bertambah berkali ganda untuk beberapa saat dan tentunya ia akan memberikan kesan kepada fisiologi (fungsi) badan anda.

Latihan High-G

Latihan high-G dilakukan juruterbang pesawat pejuang dan angkasawan yang perlu mengendali pesawat atau kapal angkasa dengan tahap pecutan yang tinggi.

Latihan ini bertujuan untuk mengelakkan juruterbang hilang kesedaran disebabkan pecutan graviti yang berlaku ketika pesawat berlepas.

Pecutan yang tinggi menyebabkan daya graviti memaksa darah meninggalkan otak sehingga boleh mengakibatkan seseorang hilang kesedaran.

latihan juruterbang pesawat pejuang angkasawan
Juruterbang hilang kesedaran ketika daya g mencapai 5.25g. (Kredit: Toughest Cars)

Tekanan graviti sehingga 9 kali ganda

Dalam persekitaran normal, daya graviti yang bertindak ke atas tubuh badan kita adalah 1g. Dalam keadaan ini, darah boleh dipam naik ke otak dan membekalkan oksigen ke organ tersebut.

Jika anda menaiki roller coaster pula, tahap daya graviti yang bertindak ke atas anda pula boleh mencecah 5g (49m/s²).

Namun bagi juruterbang pesawat pejuang atau angkasawan, mereka perlu menjalani latihan sehingga mencecah 9g dengan memakai sut khas (g-suit).

Sut ini bertindak menekan darah ke bahagian atas badan bagi mengelakkan pengsan akibat kekurangan darah yang membekalkan oksigen pada otak.

Susah kan untuk bayangkan latihan mereka kalau sekadar membaca? Jom kita tonton video simulasi yang mereka lalui.

Video simulasi

Dah puas tertawa? Biarpun lucu, ujian ini menjadi kayu ukur kehebatan mereka menghadapi tekanan berbanding orang biasa. Hebat bukan?

Nah, sebab itulah ada netizen yang membuat meme perbandingan reaksi ‘juruterbang’ dengan orang biasa ketika menaiki roller coaster.

Dalam satu artikel diterbitkan Live Science, bekas ahli bedah penerbangan dan pengarah urusan National Aerospace Training And Research Center (NASTAR), Dr Swee Weng Fan menjelaskan, jantung boleh menghasilkan tekanan darah yang cukup untuk menghantar darah ke organ di atas jantung termasuk otak dan mata.

Namun dalam peningkatan daya graviti, daya pecutan cukup kuat untuk memaksa darah turun ke kaki, menjadikan hampir mustahil untuk darah mengalir semula ke jantung untuk kitaran.”

Oleh itu, jantung perlu bekerja keras untuk melawan daya tersebut bagi menghantar darah ke otak dengan tekanan yang lebih tinggi.

“Tiada darah di otak bermakna tiada oksigen di dalam otak,” katanya.

Sel otak anda mempunyai rizab oksigen yang boleh membuatkannya terus berfungsi selama 4 saat. Selepas simpanan ini habis, otak akan “berhenti berfungsi”, menyebabkan anda hilang kesedaran, tambah Dr Fan.

“Ia seperti tertidur. Sebahagian mendakwa mereka mengalami mimpi yang jelas atau mimpi ngeri selepas terjaga. Ia boleh diikuti kekejangan dan pergerakan otot yang tidak terkawal. 

“Semua ini mungkin mengambil masa 20-30 saat, walaupun ia boleh berbeza secara meluas.”

Bagi orang dewasa biasa, tekanan serendah 3G boleh menyebabkan otak kekurangan oksigen, kata Dr Fan.

Disebabkan itulah semua juruterbang akrobatik dan pesawat pejuang menjalani latihan Anti-G Straining Maneuvers (AGSM) termasuklah teknik bernafas dan penegangan otot untuk meminimakan saliran darah ke bawah.

Teknik ini penting untuk memastikan otak menerima darah dan oksigen yang mencukupi bagi memastikan juruterbang tidak pengsan serta tubuh dapat berfungsi dengan baik ketika di udara.

Sumber: Toughest Cars, Live Science, Military Wikia, TrusKeMata

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.