Siakap Keli

Artis K-Pop Ini Dakwa Ada Rakyat Malaysia ‘Ejek’ Nama Instagramnya Hingga Tutup Ruangan Komen

 

Buli siber atau dikenali sebagai cyberbullying bukan merupakan satu isu baru. Siapa pun tidak terkecuali daripada menjadi mangsa sama ada orang biasa mahupun invidu berpengaruh seperti golongan artis yang sering menjadi mangsa kecaman di media sosial oleh netizen.

Ada yang melihat isu buli siber ini seperti isu kecil, tetapi perlu diingat ada individu sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dibuli. Rata-ratanya menjadi ‘depress’ atau murung kerana  kecaman yang diterima membawa kesan kepada mental mereka.

Seperti apa yang berlaku kepada seorang artis korea dengan nama So Young atau dikenali dengan nama pentas ‘Babi’. Disebabkan nama tersebut, gadis  ini mendapat kecaman bertubi daripada netizen Malaysia yang mempersendakan namanya.

Difahamkan, Babi merupakan anggota kumpulan nyanyian ‘Fly With Me’ yang terdiri daripada 10 orang gadis. Kumpulan tersebut membuat kemunculan pertama pada 27 Jun 2019 lalu dengan single ‘Your Face’.

Menerusi akaun Instagram babi_fly, netizen negara ini dilihat membanjiri ruangan komen dengan kata-kata berbentuk perlian sehingga memaksa beliau menutup ruangan komen tersebut.

”Ni lah babi paling lawa kat dunia”

Susulan itu, menerusi muat naik terbaharu yang ditujukan khas buat netizen di negara ini, Babi meluahkan rasa sedih akan pembulian siber yang berlaku ke atas dirinya.

Dia meminta semua netizen untuk menghentikan perbuatan tersebut kerana tidak berminat dengan maksud di sebalik namanya seperti yang diperkatakan.

Kenapa buat macamni kat saya?

”Rakyat Malaysia yang datang ke sini untuk mempersendakan nama saya, perlu melihat post ini.

”Kenapa awak melakukan perkara ini kepada saya? Hanya kerana nama saya adalah bahan ketawa anda?

”Anda gembira melakukan ini? Saya tidak berminat dengan bahasa anda, jadi tidak kisah apa maksud nama saya di dalam bahasa tersebut.

”Saya tidak tahu negara anda dan saya tidak mahu mengetahuinya lagi.

”Jika perkara sama terjadi lagi selepas anda melihat post ini, saya akan ‘report’ dan ‘block’ setiap orang. Jadi berhenti sekarang.

”Terakhir, terima kasih kepada mereka yang menolong saya,” katanya.

Sebagai peringatan, jadilah netizen yang prihatin untuk perkara yang membawa kebaikan dan bukan sebagai medan serangan peribadi sehingga membawa kepada rasa kemurungan dan kematian orang lain.

Sumber: babi_fly

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.