Siakap Keli
Gambar: Google

Warga Asing Enggan Bayar Kos Kuarantin Akan Dibatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang- JIM

PUTRAJAYA, 30 Julai – Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki mana-mana warga asing yang enggan membayar kos kuarantin akan dibatalkan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, keengganan golongan tersebut disifatkan menjejaskan usaha kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan COVID-19.

“Dalam perkara ini, JIM memberi amaran akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki oleh warga asing berkenaan sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin tersebut.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah Pas Suami atau Isteri kepada warganegara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain-lain kategori,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, semua warganegara asing dan rakyat tempatan dinasihatkan mematuhi arahan dan peraturan semasa, serta turut peka dengan pengumuman-pengumuman terkini agensi kerajaan berhubung langkah pencegahan pandemik COVID-19.

“Mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar aragan atau gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu lagi.

Mengimbas kembali, sejak 24 Julai lalu, kerajaan telah mewajibkan semua warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini serta warga asing yang diberi kebenaran masuk untuk diwajibkan kuarantin selama 14 hari.

Bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin tersebut.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.