Siakap Keli

TERKINI: PKPB Di Pulau Pinang, Perak & Kelantan Kecuali Beberapa Kawasan Ditamatkan Pada 6 Disember

Menerusi sidang media hari ini, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pulau Pinang, Perak dan Kelantan  akan ditamatkan pada 6 Disember ini.

Bagaimanapun, ada beberapa kawasan yang mana PKPB atau PKPD dilanjutkan di ketiga-tiga negeri ini.

Bagi negeri Pulau Pinang, PKPB di Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13 Timur Laut akan diteruskan bermula 7 Disember sehingga 20 Disember 2020

“Mesyuarat khas juga turut bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti zon merah iaitu di Flat Paya Terobong, Relau dan Flat Desa Bestari, Batu Uban bermula pada 7 Disember sehingga 20 Disember 2020,” katanya.

 

Di negeri Perak, PKPB akan diteruskan di Mukim Teja dan Mukim Changkat Jong bermula pada 7 Disember sehingga 20 Disember 2020.

“Kerajaan juga turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Zon 8 dan Zon C Taman Meru 2C di Ipoh, Perak pada hari ini, iaitu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan.

“PKPD di Depo Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Daerah Hilir Perak pula akan dilaksanakan berkuatkuasa pada 6 Disember hingga 19 Disember 2020,” katanya.

Di negeri Kelantan, PKPB akan diteruskan di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas pada 7 Disember sehingga 20 Disember 2020.

Namun, PKPD akan dilaksanakan di Madrasah Al Diniah Al Falahiyah Kampung Dalam Huma Bukit Awang, Pasir Puteh berkuatkuasa 7 Disember sehingga 20 Disember.

Walau bagaimanapun, beliau juga mengingatkan kepada orang ramai bahawa setiap negeri yang ditamatkan PKPB masih lagi berada di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sumber: RTM

Sofea

There's always another side to every story