Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Didakwa ‘Membuang Masanya’, Wanita Dilapor Saman Teman Lelaki Sebab Tak Melamarnya Lepas 8 Tahun Bercinta

Seorang wanita berusia 26 tahun daripada Zambia baru-baru ini telah menjadi tajuk utama berita antarabangsa kerana mengheret teman lelakinya ke muka pengadilan gara-gara “membuang masanya” selepas gagal melamarnya setelah 8 tahun menjalinkan hubungan, lapor Oddity Central.

Kerana sudah penat menunggu pasangannya itu mengemukakan lamaran ke atas dirinya, wanita tersebut telah membawanya ke pengadilan sebagai cara untuk memaksanya bertindak sedemikian.

Wanita yang berasal daripada Ndola, Zambia mendakwa teman lelakinya yang berusia 28 tahun itu berjanji untuk mengahwininya, dan bahkan berjanji untuk membayar lobola (mahar tradisional) kepada ibu bapanya, sebagai tanda bahawa dia akan menjaganya, namun sejak itu menangguhkannya.

Walaupun telah mempunyai anak bersama, kedua-duanya tidak pernah tinggal bersama. Kini wanita tersebut menuntut agar teman lelakinya itu membuat keputusan berkenaan masa depan mereka bersama.

“Yang Mulia, dia tidak pernah bersikap serius, itulah sebabnya saya membawanya ke muka pengadilan, kerana saya berhak mengetahui berkenaan masa depan saya dengannya,”ujar wanita itu kepada hakim sambil menambah bahawa dia juga mengesyaki teman lelakinya itu menipu selepas mengetahui bahawa dia ada mesej dengan wanita lain.

Lelaki berusia 28 tahun itu memberitahu hakim bahawa dia sebenarnya ingin berkahwin dengan teman wanitanya itu, tetapi tidak mempunyai wang untuk melakukannya. Dia mendakwa bahawa teman wanitanya itu yang harus dipersalahkan kerana kurang komunikasi di antara mereka, kerana dia kurang mendapat perhatian daripadanya.

Selepas mendengar kedua-dua keterangan mereka, hakim majistret Evelyn Nalwize menyatakan bahawa tiada apa-apa yang boleh dibuat oleh mahkamah kerana tiada pernikahan yang berlaku, walaupun mahar dibayar.

Hakim menasihati wanita berkenaan untuk menyaman teman lelakinya itu kerana melanggar kontrak perkahwinan.

Sumber: Oddity Central

Aqmal Ezany

I write what is right