Siakap Keli
Gambar Via Daily Mail

(Video) Detik-Detik Cemas Harimau Bintang Terkam Seorang Lelaki Hingga Cedera Di Bahu

Seekor harimau bintang dilaporkan telah menerkam seorang lelaki ketika para pegawai hidupan liar mengejar haiwan itu di sebuah tapak bangunan di India Tengah.

Harimau bintang itu merayau ke kawasan perumahan setelah melarikan diri dari tempat perlindungan hidupan liar yang berdekatan kelmarin, lapor Daily Mail.

Menerusi satu rakaman video, harimau bintang itu dilihat menerkam lelaki yang memakai topi keledar hijau sambil disaksikan oleh orang ramai.

Haiwan itu didengari meraung ketika ‘menggigit’ bahu lelaki itu, dia bernasib baik kerana berjaya melarikan diri.

Pekerja binaan itu menjauhkan diri dari tempat kejadian sambil memegang bahunya yang berdarah.

Tidak cuma itu, haiwan yang ganas tersebut juga mencederakan lima orang termasuk seorang anggota polis yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Dr Utttam Yadav dari Pasukan Harimau jabatan hutan ditugaskan untuk menangkap kucing besar itu.

“Kami melihat harimau bintang itu yang mungkin berusia sekitar lima tahun, kami tidak dapat menyasarkannya untuk memberikan penenang, ia malah menyerang kenderaan kami kerana sangat lincah dan segera melarikan diri,” katanya.

Harimau bintang itu akhirnya ditangkap di sebuah kebun dan ditembak dengan anak panah.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story