Siakap Keli
Gambar Via Google

Apa Yang Akan Terjadi Pada Manusia Bila Berada di Lautan Paling Dalam? Ini Penjelasannya

Dengan penemuan badan kapal selam KRI Nanggala 402 di 838 meter di bawah permukaan laut, Tentera Laut Indonesia telah mengesahkan bahawa kesemua 53 kru telah terkorban dalam tragedi itu.

Berita itu bukan sahaja memberikan kesan kepada ahli keluarga mangsa tetapi juga kepada seluruh masyarakat di dunia. Manakan tidak, semua orang telah berganding bahu memanjatkan doa agar mereka ditemui dengan selamat, tetapi perancangan Allah SWT ternyata lebih terbaik buat mereka.

Pasti ramai yang mengikuti perkembangan mengenai kapal selam tersebut dan menimbulkan persoalan mengenai beberapa perkara berkaitan dengan tragedi itu termasuk kedalaman air laut.

Sebelum ini, SK telah merungkai serba sedikit mengenai apa yang akan berlaku pada sesebuah kapal selam jika ia tenggelam melebihi kemampuan maksimum selamannya.

BACA: Ini Yang Terjadi Jika Kapal Selam Tenggelam Melebihi Kemampuan Selamannya

Namun, apa pula yang akan berlaku pada manusia jika berada di permukaan laut yang paling dalam?

Menurut Bright Side, tubuh badan manusia akan mengalami beberapa tekanan mengikut tahap kedalaman di dalam laut.

Laut paling dalam di dunia

Tahukah anda di mana laut yang paling dalam di dunia? Ia terletak di antara Hawaii dan Filipina iaitu berhampiran pulau Guam dan dikenali sebagai Mariana Trench. Panjang Mariana Trench adalah lebih dari 1500 batu dengan lebar rata-rata sekitar 43 batu dan kedalaman 11,043 meter.

Ia dikatakan sangat dalam sehingga jika diletakkan Gunung Everest di dalamnya, puncak gunung itu tetap akan berada di bawah air. Tak mampu dibayangkan jika berada di lautan itu. Mungkin penjelasan di bawah ini serba sedikit boleh memberi gambaran mengenai apa yang akan berlaku jika manusia berada di laut paling dalam.

Untuk pengetahuan anda, hanya beberapa kaki di bawah permukaan laut, tekanan air yang dirasakan sudah terlalu kuat sehingga otot-otot mengembang dan menjadikan seseorang sukar untuk bernafas.

Kedalaman 10 meter hingga 60 meter

Tubuh manusia sudah mula merasakan tekanan yang kuat ketika berada di kedalaman 10 meter hingga 30 meter. Ketika ini, tekanan dirasakan menghimpit keseluruhan tubuh termasuk di bahagian telinga dan paru-paru.

Jika seseorang terus terjatuh ke kedalaman 60 meter pula, oksigen yang ada dikatakan akan bertukar kepada toksik kerana menghadapi tekanan yang tujuh kali ganda lebih kuat berbanding pada kedalaman biasa. Ia juga mungkin menyebabkan seseorang mengalami sawan.

Kedalaman 253 meter

Beralih kepada kedalaman 253 meter pula, ia merupakan had maksimum yang pernah diselami oleh manusia. Bagi yang masih tidak tahu, kedalaman itu telah ‘ditakluk’ oleh Herbert Nitsch yang menyelam di lautan itu pada tahun 2007 dan telah mencipta rekod dunia.

Herbert juga dikatakan mampu menahan nafas selama lebih dari sembilan minit. Kejayaannya menyelam di kedalaman itu telah memperlihatkannya digelar sebagai The Deepest Man on Earth.

Pun begitu, menyelam di kedalaman itu pastinya ada kesan yang perlu ditanggung. Herbert dalam satu temubual berkata bahawa dia ‘tertidur’ buat sementara waktu semasa melakukan selaman kerana narkosis nitrogen. Dia juga merasakan penyahmampatan dan mengalami sedikit kecederaan.

Tidak cuma itu, kapal selam juga biasanya berada di kedalaman ini.

Kedalaman 500 meter hingga 700 meter

Seperti yang dinyatakan di atas, manusia hanya boleh menyelam di kedalaman 253 meter. Jika ingin ‘meneroka’ di kedalaman 500 meter hingga 700 meter, sut yang sesuai dan satu diving chamber perlu digunakan.

Ia merupakan satu alat khas yang ‘bekerja’ untuk manusia dan sesuai dengan tahap kedalaman itu.

Namun, ia mengambil masa yang lama untuk sampai semula ke permukaan kerana mengalami tekanan yang sangat kuat.

Jika manusia menyelam di kedalaman ini, gas seperti nitrogen dan helium akan mula berkumpul dalam tisu badan dan darah kerana tekanan yang kuat dan ia mengambil masa agak lama untuk keluar dari tubuh badan melalui paru-paru.

Ketika ini anda tidak boleh panik kerana jika anda terus naik ke permukaan laut, dikhuatiri gas tersebut akan membentuk buih-buih, memusnahkan saluran darah dan menyekat darah.

Kedalaman 2000 meter

Pastinya, kedalaman ini memerlukan alat yang sangat sesuai untuk menahan tekanan yang kuat. Kapal selam dengan sistem yang terbaik perlu digunakan seperti kapal selam Triton 6600/2 yang merupakan kapal selam persendirian. Harga bagi kapal selam itu dilaporkan sekitar USD 5.5 juta.

Kedalaman 11,043 meter

Untuk menjelajah Mariana Trench, manusia perlu bergantung kepada kapal semlam khas boleh menahan tekanan yang melampau, ataupun menjelajah dengan hanya menggunakan dron bawah air.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai kedalaman tersebut, anda boleh menonton video di bawah ini.

Sumber: Bright Side

Sofea

There's always another side to every story