Siakap Keli

Kenyataan Penuh UMNO: 5 Perkara Mengenai Penarikan Sokongan Terhadap Kerajaan, PM

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebentar tadi telah mengumumkan penarikan semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: UMNO Sebulat Suara Tarik Balik Sokongan Terhadap Kerajaan PN & Muhyiddin Yassin

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO secara maya pada 3 Ogos 2021 bersamaan 24 Zulhijjah 1442H hari ini telah membuat beberapa ketetapan.

Lima perkara yang dibentangkan dalam keputusan mesyuarat tersebut adalah seperti berikut:

1. UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

2. Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

3. Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin selaku Perdana Menteri.

4. Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

5. Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan dengan ini telah terbatal.

 

Sumber: UMNO Online

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'