Siakap Keli
Gambar: Twitter Khairy Jamaluddin & Bernama

(Video) Khairy Dedah Kenapa Perlu Kurangkan Bergantung Dengan Ujian RT-PCR

Menerusi ciapan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, beliau menegaskan bahawa ujian RTK membolehkan orang ramai mengesan kes positif COVID-19 dengan lebih pantas dan efektif.

Katanya, ujian ini juga dapat melindungi orang ramai dan mereka terlibat boleh terus mengasingkan diri terutamanya dalam gelombang Omicron, di mana varian itu dilihat lebih cepat merebak.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan bahawa ujian RT-PCR pula hanya sesuai untuk digunakan dalam situasi tertentu sahaja seperti perjalanan ke luar negara atau untuk pulang ke Malaysia.

Justeru, Khairy hari ini turut berkongsikan video mengenai sebab-sebab mengapa masyarakat perlu kurangkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR selepas ini.

Jelas Khairy, apabila negara kita sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, ujian RT-PCR dilihat lebih menyukarkan jika dibanding dengan ujian RTK.

Khairy turut menyatakan beberapa sebab mengapa ujian RTK dilihat lebih relevan untuk dijalankan pada fasa peralihan endemik ini.

1. Ujian PCR lebih mahal

Umum mengetahui bahawa ujian PCR adalah lebih mahal jika dibandingkan dengan ujian RTK. Ujian RTK adalah lebih murah dan mudah untuk didapati di pasaran.

2. RTK memadai untuk mengesan kes positif

Tambahnya, RTK sudah memadai untuk mengesan kes postif yang mempunyai tahap jangkitan yang tinggi jika dibandingkan dengan PCR yang sangat sensitif.

Hal ini dikatakan demikian kerana, jika seseorang itu sudah sembuh daripada penyakit COVID-19 dan dia melakukan ujian PCR, ujian itu tetap menunjukkan dia postif.

3. Keputusan PCR mengambil masa lama

Ujian PCR memerlukan jangka masa yang lama berbanding RTK yang hanya memerlukan jangka masa selama 15 minit untuk memberikan keputusan ujian.

Dalam situasi penularan gelombang Omicron, ujian RTK dilihat lebih efektif kerana ia lebih cepat menunjukkan keputusan ujian jika dibandingkan dengan ujian PCR.

Kit ujian akan sentiasa dipantau Medical Device Authority (MDA)

Beliau turut menambah bahawa kualiti kit ujian kendiri COVID-19 yang ada di pasaran akan terus dipantau oleh MDA.

Namun diingatkan sekali lagi bahawa ujian PCR masih boleh digunakan dengan tujuan untuk ke luar negara atau masuk ke Malaysia.

Tambahan juga, anda tidak perlu sahkan keputusan positif ujian kendiri dengan ujian PCR.

Cukup memadai dengan menunjukkan keputusan positif kendiri itu sahaja dan terus jalani kuarantin diri sendiri.

BACA JUGA: Perlu Ambil Tahu, Ini Perbezaan Kontak Rapat Dengan Kontak Kasual

Sumber: Khairy Jamaluddin

Nadhirah