Siakap Keli

Calon Exco Johor Perlu Isytihar Harta, Semak Latar Belakang Dengan Polis Dan SPRM – Sultan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta. Perkara tersebut dimaklumkan menerusi laman rasmi baginda.

“DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Baginda bertitah sedemikian sewaktu berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru semalam (16 Mac).

“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Pertemuan bersama DYMM Sultan Johor berlangsung selama hampir sejam dan, baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Dato Hasni, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah Baginda.

DYMM Sultan Johor, bertitah baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Diperingkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Dato’ Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah Baginda.

Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lepas.

BACA JUGA: Onn Hafiz Sah Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Johor

Sumber: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Aireena Marizan