Siakap Keli
bayi tercampak dari kereta
Gambar hiasan via Bernama

Konvoi Kereta Mewah Berhenti Tengah ‘Highway’ Sebab Tak Puas Hati

Kejadian konvoi kereta mewah yang memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya baru-baru ini adalah kerana tidak puas hati selepas dilanggar.

Ketua Polis Daerah IPD Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, perlanggaran tersebut melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Lamborghini.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6:10 petang pada 18 Mac kelmarin.

“Pemandu Ford Ranger yang cuba memotong motokar Lamborghini secara zig-zag telah menyebabkan perlanggaran dengan salah satu Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri.

“Disebabkan perlanggaran tersebut kumpulan konvoi Lamborghini tidak berpuas hati dan berhenti di tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, situasi tersebut menyebabkan berlaku perselisihan faham antara pemandu Ford Ranger berkenaan dan kumpulan konvoi terbabit di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh) dan boleh membawa kepada hukuman dua tahun penjara atau denda jika disabit kesalahan.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika disabit kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM15,000.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa buah kereta mewah yang dilihat berhenti di tengah-tengah lebuh raya.

Menurut kenyataan, tindakan kumpulan kereta mewah tersebut menghalang lalu lintas di Kilometer 34, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Susur Keluar Sedenak, Johor.

Kes Marshal

Terdahulu, sebuah rakaman video tular telah dimuat naik memaparkan seorang individu melakukan aksi marshal dengan mengarahkan kenderaan lain untuk bergerak ke lorong kiri

Menerusi rakaman itu, terlihat individu memberikan arahan marshal kepada kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan.

Tujuan individu tersebut berbuat sedemikian adalah untuk membenarkan 20 buah motosikal berkuasa tinggi bagi melalui laluan tersebut.

Difahamkan, kumpulan konvoi itu dipercayai bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. Mereka kemudiannya melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

BACA JUGA: Kes Marshal Berlagak Polis Trafik: Dua Lelaki Serah Diri, Dua Motosikal Berkuasa Tinggi Dirampas

Sumber: IPD Daerah Kulai

Nadhirah