Siakap Keli
Gambar via Medium/Hyperallergic

Kenali Felicette, Kucing Pertama Dihantar Teroka Angkasa Lepas

Penjelajahan manusia ke angkasa lepas sememangnya sesuatu yang menakjubkan dan akan sentiasa menjadi rekod sejarah yang diingati selamanya.

Menurut WorldSpaceFlight, hampir 600 manusia telah berada di angkasa lepas sejak pertama kali ia dilakukan oleh angkasawan Soviet, Yuri Gagarin pada 12 April 1961.

Umum juga pastinya mengetahui mengenai haiwan pertama yang dibawa ke sana iaitu anjing Soviet yang bernama Laika.

Bagaimanapun, kisah mengenai kucing yang dihantar ke angkasa lepas nampaknya sangat jarang diketahui oleh orang ramai.

Untuk pengetahuan, sepanjang sejarah penerbangan ke angkasa lepas, hanya seekor sahaja kucing yang berjaya dihantar ke sana.

Dihantar ke angkasa pada tahun 1963

Kucing hitam putih yang dinamakan Felicette itu ‘dilancarkan’ oleh program angkasa Perancis pada 18 Oktober 1963.

Sebelum terpilih untuk ke angkasa, Felicette perlu ‘bersaing’ dengan puluhan ekor kucing dan menjalani beberapa ujian yang serupa dengan pelatih angkasawan manusia.

Kucing-kucing itu terpaksa membiasakan diri dengan ruang terkurung, malah dihantar ke kerusi berputar untuk membolehkan mereka tidak kekok dengan keadaan roket.

Malah sepanjang latihan, setiap kucing juga terpaksa hidup dengan elektrod yang ditanam ke dalam otak mereka.

Ia dipercayai membolehkan para saintis mengumpul data neurologi.

Tidak lama kemudian, saintis Perancis telah mengecilkan calon kepada enam ekor kucing  yang berperangai tenang dan mempunyai berat yang sesuai termasuk Felicette.

Kucing itu telah dibawa ke angkasa dengan menaiki Veronique AG1 iaitu roket yang tercanggih pada masa itu.

Roket itu dilaporkan telah dilancarkan pada awal pagi dari tapak di gurun Sahara Algeria.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit dan kucing itu mencapai ketinggian maksimum hampir 100 batu dan mengalami sekitar 9.5g pecutan.

Elektrod yang melekat pada otaknya membolehkan saintis mengkaji vitalnya dan bagaimana penerbangan angkasa lepas mempengaruhi fikirannya.

Selepas beberapa minit, Felicette mula turun ke bumi dengan selamat dan sihat.

Kisahnya tidak berakhir dengan baik

Namun, seperti kebanyakan sejarah haiwan di angkasa, kisah kucing betina ini tidak berakhir dengan baik.

Jika Laika meninggal dunia kerana terlalu panas selepas beberapa jam berada dalam penerbangan, Felicette pula perlu melalui penderitaan selepas tiba semula di bumi.

Dua bulan selepas kejayaan pelancarannya, Felicette telah ‘dimatikan’ oleh saintis.

Walaupun banyak data berguna yang dikumpul daripada elektrod Felicette semasa penerbangannya, saintis Perancis mahukan lebih banyak maklumat tentang cara penerbangan angkasa lepas telah menjejaskan otaknya.

Maka, mereka membunuh kucing itu untuk memeriksa keadaan otaknya.

Beberapa ketika selepas itu, status Felicette sebagai kucing pertama di angkasa terus sunyi daripada perhatian media termasuk di Perancis sendiri.

Namun, kucing itu kembali diingati apabila patung peringatannya telah dirasmikan pada tahun 2020 di Universiti Angkasa Antarabangsa di Strasbourg, Perancis.

Sumber: Grunge, National Geographic

Sofea

There's always another side to every story