Siakap Keli
tanam orkid kat rumah
Gambar Hiasan via Visit Indiana/Tribune India

Beli Mahal-Mahal Tapi Rosak, Ini Pantang Larang Kena Jaga Bila Tanam Orkid Kat Rumah

Jangan tak tahu, tanam orkid kat rumah pun ada pantang larangnya juga. Nak tahu? Meh tengok perkongsian SK dekat bawah ini.

Bercucuk tanam bukan sahaja merupakan aktiviti bagi mengisi masa lapang tetapi juga menjadi terapi untuk minda dan jiwa. Sama ada menanam sayur-sayuran atau bunga-bungaan, ia memberikan pelbagai manfaat kepada kita semua.

Disebabkan itu kita sentiasa diseru untuk berbakti pada tanah agar kelak hasilnya kita juga yang dapat merasa.

Bagi penanaman pokok bunga, anda pasti tahu bahawa ia bukanlah satu proses yang mudah terutama melibatkan bunga yang memerlukan penjagaan rapi. Jika dijaga dan dirawat dengan baik, halaman rumah anda mungkin akan menjadi seperti ‘taman bunga’.

Salah satu bunga yang menjadi pilihan untuk ditanam adalah bunga orkid kerana kecantikannya yang sentiasa menyerikan rumah.

Walaupun harganya agak mahal namun tetap ada yang sanggup membelinya. Apakan tidak, bila sudah minat semuanya akan kelihatan berbaloi.

Pun begitu, kadang kala timbul rasa menyesal apabila pokok orkid tersebut rosak atau mati. Sudah berhabis wang dan tenaga tetapi hasilnya tiada, sesiapa saja pasti akan merasa sedih.

Bagaimanapun, ramai tidak tahu bahawa sebenarnya ada beberapa ‘pantang larang’ bila menanam bunga orkid di rumah.

Ada darinya yang mungkin dilihat remeh tetapi percayalah ia sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada kesuburan pokok bunga tersebut

Bagi yang belum tahu, mari SK kongsikan mengenai lima ‘pantang larang’ yang perlu difahami sebelum menanam orkid.

1. Jangan terlalu dedahkan pada cahaya matahari

Orkid adalah tumbuhan yang ‘suka’ pada tempat yang teduh dan anda tidak sepatutnya membiarkannya terdedah kepada cahaya matahari yang terlalu banyak.

Jika ia terdedah kepada sinaran matahari yang terik pada musim panas, kemudaratan yang besar mungkin akan berlaku kepada bunga itu.

Penyelesaian mudah kepada masalah ini adalah dengan menanam orkid di ruangan yang teduh atau di dalam ‘rumah kaca’. Persekitaran teduhan mengurangkan haba yang berkaitan dengan cahaya matahari, bergantung kepada bahan yang digunakan.

2. Siram bunga dengan berpada-pada

Salah satu kesilapan yang sering dilakukan apabila menanam orkid ialah penyiraman yang berlebihan. Untuk pengetahuan, orkid hanya memerlukan jumlah air yang sedikit untuk terus hidup dan membesar seperti orkid jenis phalaenopsis.

Apabila terlalu banyak air, ia berkemungkinan besar akan mengalami masalah seperti akar reput. Justeru, siram orkid anda dengan berpada-pada iaitu dalam ¼ cawan air.

3. Kelembapan tidak mencukupi

Ketahuilah bahawa hampir semua orkid memerlukan kelembapan yang tinggi. Ia ditentukan oleh berapa banyak lembapan yang berada dalam struktur bunga itu berbanding seberapa cepat ia hilang daripadanya.

Keadaan itu berlaku akibat daripada kekerapan dan jumlah penyiraman atau kabus serta aliran udara antara bahagian dalam dan luar.

Jika kelembapan tinggi dan suhu menurun, pemeluwapan akan terhasil dan ia seterusnya boleh menyebabkan kerosakan kepada bunga.

4. Haba, kelembapan, cahaya dan aliran udara yang tidak seimbang

Keseimbangan antara cahaya, haba dan kelembapan perlu dicapai untuk penanaman yang optimum. Apabila ia tidak seimbang, persekitaran untuk orkid memerlukan sedikit penambahbaikan.

Haba dan cahaya berkait rapat antara satu sama lain dan sebahagian besarnya dikawal oleh teduhan. Secara amnya, orkid adalah tumbuhan yang memerlukan cahaya dan perlu mendapatkan 12 hingga 14 jam cahaya setiap hari sepanjang tahun.

Sesetengah orkid seperti vandas dan cymbidiums pula memerlukan jumlah cahaya yang banyak agar ia berbunga.

Maka, haba kelembapan, cahaya dan aliran udara berkait rapat di antara satu sama lain. Untuk mendapatkan prestasi yang lebih baik dalam pertumbuhan orkid, setiap daripada pokok itu perlu mencapai tahap tertentu supaya ia boleh seimbang untuk mewujudkan persekitaran pertumbuhan yang optimum.

5. Jangan tanam dalam bahan pasu yang salah

Menggunakan tanah untuk menanam orkid adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh orang ramai. Tanpa disedari, ia boleh membunuh tumbuhan itu.

Bahan penanaman orkid tidak sama dengan bahan penanaman bagi tanaman yang lain.

Penggemar orkid yang sudah berpengalaman biasanya menggunakan pelbagai jenis bahan seperti spaghnum lumut, sabut kelapa dan styrofoam untuk menggantikan tanah pasu.

Sebagai contoh, orkid phalaenopsis tumbuh di atas pokok apabila ia berada di habitat semula jadi dan disebabkan itu ia tidak boleh ditanam di dalam tanah.

Medium pasu seperti kulit pokok, gabus atau serpihan kelapa yang membolehkan peredaran udara yang mencukupi di sekeliling akarnya sesuai dengan orkid phalaenopsis.

Jadi itulah lima pantang larang yang perlu diikuti apabila menanam orkid. Bila sudah tahu cara untuk menjaganya, mesti ramai yang ingin menambah koleksi bukan?

Tidak perlu bersusah payah pergi ke kedai bunga, anda boleh datang ke Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 yang bakal diadakan pada 2 Jun hingga 12 Jun 2022 nanti.

Pesta anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu akan berlangsung di RTC FAMA Kelantan dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

Anda pasti akan rambang mata melihat pelbagai jenis bunga orkid yang dijual di pesta itu selain dapat membeli bahan-bahan tanaman seperti baja, anak pokok, pokok bunga dan landskap.

Selain itu, anda juga boleh singgah di booth jualan Produk Industri Makanan, jualan dan pameran pokok bonsai dan jualan makanan popular.

Tidak cuma itu, pendaftaran bagi usahawan Agrobazaar Online juga turut disediakan bagi orang ramai yang berminat.

Malah, pelbagai lagi aktiviti menarik yang disediakan untuk para pengunjung seperti persembahan dikir barat, wayang kulit, Mak Yong patuh syariah buskers artis terkenal Kelantan, pertandingan bintang flora 2022, pertandingan nasyid, Taman bunga LED dan taman permainan (funfair).

 

Menarik bukan? Jadi apa tunggu lagi, ayuh sama-sama ke Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 dan dapatkan bunga-bunga orkid kegemaran anda.

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari laman web MAFI dan Facebook Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Sofea

There's always another side to every story