Siakap Keli
pengasuh durjana bakal dijatuhi hukuman
Gambar Via The Sun UK/ Deccan Chronicle

Pengasuh Durjana Bakal Dijatuhi Hukuman, Mengaku Rogol Bayi & Cabul Puluhan Kanak-Kanak

Mengaku rogol bayi dan cabul puluhan kanak-kanak pada tahun 2020 dan 2021, pengasuh durjana bakal dijatuhi hukuman. 

Seorang pengasuh mengaku bersalah merogol seorang bayi dan mencabul puluhan kanak-kanak lain dalam kejadian di Perth, Australia, lapor The Sun UK.

Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun hadir di Mahkamah Majistret Perth pada Selasa lalu dan didakwa atas 221 kesalahan seks membabitkan kanak-kanak yang diasuhnya antara Julai 2020 dan Ogos tahun lalu.

Ketika perbicaraan tersebut, dia mengaku bersalah atas 141 kesalahan, termasuk merogol kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Antara pertuduhan lain adalah termasuk merakam dan berurusan dengan kanak-kanak secara tidak senonoh.

Iklankan perkhidmatan dalam dua laman web

Difahamkan, lelaki itu mengiklankan perkhidmatan menjaga bayi di dua laman web dengan mengatakan bahawa dia akan membantu membesarkan anak-anak menjadi yang terbaik.

Dia juga mendakwa mempunyai sijil pertolongan cemas, cek polis, kad bekerja dengan kanak-kanak dan mempunyai pengalaman selama lebih empat tahun.

“Saya seorang lelaki yang mudah mesra dan terbuka untuk menjaga sebarang umur pada bila-bila masa. Terbuka untuk mengendalikan apa pun yang keluarga anda mahukan,” tulisnya dalam iklan tersebut.

Setelah mendapat kepercayaan ibu bapa, dia melakukan jenayah tersebut di seluruh Perth dan barat laut negeri itu.

pengasuh durjana bakal dijatuhi hukuman
Gambar via The Sun

Dalam iklan di laman web lain pula, dia menawarkan perkhidmatannya dengan harga $20 (RM88) dan $25 (RM110) sejam dan mendakwa dia mempunyai pengalaman menjaga kanak-kanak lebih daripada lima tahun.

Menurut laporan, pihak polis telah menemui bahan eksploitasi kanak-kanak ketika menyerbu rumahnya di Bennet Springs pada 22 Ogos lalu.

Malah, beberapa gel blaster dan ‘senjata bermata’ turut ditemui di rumahnya itu.

Dia pada mulanya didakwa atas 14 kesalahan seks terhadap kanak-kanak termasuk serangan seksual terhadap kanak-kanak di bawah 12 bulan.

Dia juga didapati menghasilkan bahan penderaan kanak-kanak, serta memiliki senjata terlarang.

Pertuduhan lanjut dikemukakan ketika siasatan berjalan dan lebih ramai mangsa ditemui.

Sementara itu, hukuman ke atasnya akan dijatuhkan di Mahkamah Agung Australia Barat pada 27 September nanti.

Sumber: The Sun

Sofea

There's always another side to every story