Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan mesej tular berkaitan iklan promosi tawaran diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM sebanyak 50 peratus yang tular baru-baru ini.
Setiausaha PDRM, Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) PDRM telah mengesan satu iklan mempromosikan tawaran diskaun separuh harga saman JPJ dan PDRM itu melalui aplikasi WhatsApp.
Jelas Noorsiah, iklan tersebut memaparkan nilai kadar saman dan jumlah bayaran diskaun 50 peratus serta tawaran sehingga 20 Julai 2022 dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi nombor telefon yang tertera.
“PDRM mengesahkan iklan promosi tawaran saman tersebut adalah palsu dan (polis) sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.
“Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut, diminta untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam juga dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita, terutamanya mengenai tawaran diskaun saman melalui saluran berita media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLIS MALAYSIA
Penafian Mesej Tular Berkaitan Iklan Promosi Tawaran Diskaun Saman JPJ dan PDRM 50%. pic.twitter.com/4NqCF5ZEo1
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) July 17, 2022
Sumber: Twitter Polis Diraja Malaysia