Siakap Keli
maha 2022
Gambar: MAHA

20 Tips Penting Korang Kena Tahu Sebelum Ke MAHA 2022, “Enjoy” ‘Syurga’ Makanan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Perlancongan Malaysia 2022 ataupun lebih dikenali sebagai MAHA 2022 sudahpun tiba. Pameran tahunan  ini akan berlangsung bermula dari 4 Ogos sehingga 14 Ogos dan bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Kali ini, MAHA 2022 telah menampilkan tema ‘Sekuriti Makanan untuk Masa Depan’, bersesuaian dengan realiti yang kita hadapi pada masa ini. Pameran ini akan memberikan pencerahan mengenai kepentingan untuk memastikan bekalan makanan nasional mencukupi kepada masyarakat.

Dalam pameran ini, kita dapat melihat hasil inovasi anak-anak tempatan dalam bidang pertanian. Perkara yang lebih penting, terdapat banyak ‘tester’ makanan yang boleh dicuba, jangan sesekali berkata ‘TIDAK’ terhadap makanan.

Kredit: Rasa

Pameran yang bersifat ilmiah ini akan menyebabkan anda perlu berjalan dalam masa yang agak lama. Oleh itu, Jabatan Pertanian Malaysia telah menyediakan beberapa tip untuk memastikan anda berasa selesa sepanjang mengunjungi pameran ini.

1. Untuk wanita, sila pakai yang selesa seperti kasut bertapak rata, kasut sukan ataupun sandal. Anda sangat tidak digalakkan untuk memakai kasut tumit tinggi seperti stiletto.

Anda mungkin menyesal terpaksa menanggung rasa sakit kaki pada hari pertama lagi disebabkan pemilihan kasut yang tidak sesuai.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

2. Pengunjung juga sangat digalakkan untuk membawa payung. Sebahagian daripada pameran MAHA akan diadakan di luar bangunan dan sudah semestinya cahaya matahari akan menemani diri anda nanti.

Untuk mengurangkan kadar pendedahan sinaran UV dalam jangka masa lama, anda digalakkan untuk membawa payung sendiri. Payung ini juga berguna sekiranya hujan turun secara tiba-tiba di kawasan pameran. Bersesuaian dengan pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

3. Jika anda membawa anak kecil yang belum dapat berjalan, anda digalakkan untuk membawa stroller ataupun carrier. Hal ini akan memudahkan pegerakan ibu bapa kerana tidak perlu mendukung cahaya matanya dalam jangka masa panjang.

4. Pengunjung perlu membuat persediaan rapi terhadap mental dan fizikal untuk berjalan jauh.

5. Berdasarkan pemerhatian, pengunjung sangat tidak digalakkan untuk membawa warga emas yang mengalami kesukaran ketika berjalan. Walaupun memakai tongkat, kudrat yang dimiliki oleh orang muda dan warga emas adalah tidak sama dan golongan ini lebih berisiko untuk terjatuh sewaktu pameran.

Jika anda ingin membawa warga emas untuk mengunjungi ekspo ini, anda digalakkan untuk membawa insan tersayang dengan menggunakan kerusi roda demi menjaga keselamatan mereka.

6. Walaupun anda perlu berjalan jauh, jangan risau. Anda tidak perlu lagi untuk membawa bekal berserta pinggan mangkuk kerana terdapat banyak gerai-gerai yang menawarkan makanan dan minuman yang lazat kepada anda. Anda hanya perlu membawa barangan yang penting sahaja.

7. Kepada ibu bapa yang membawa anak-anak, sila bawa beberapa paket tisu basah sebagai satu langkah kecemasan jika anak anda membuang air besar dan kelajuan air di tandas sangat perlahan.

8. Bagi wanita yang beragama Islam, anda perlu membawa telekung sendiri kerana jumlah telekung yang disediakan sangat terhad. Membawa telekung sendiri juga dapat mengurangkan risiko anda daripada terkena jangkitan COVID-19

9. Pasti anda tidak memiliki rancangan lain selepas mengunjungi pameran ini. Hal ini disebabkan anda akan menjadi lebih relaks dan tidak perlu bergesa-gesa sewaktu mengunjungi lawatan ini. Anda boleh berjalan-jalan, makan-makan, solat dan berehat dalam keadaan yang tenang.

10. Jika anda seorang pencinta pokok ataupun memiliki kebarangkalian untuk berbelanja sakan, anda dinasihatkan untuk membawa troli ataupun bakul pasar.

Diskaun yang ditawarkan pada waktu pameran ini bukan calang-calang tetapi tiada siapa yang sanggup melihat anda mengangkat pasu yang beratnya lebih 2 kg ke hulu ke hilir.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

11. Jangan merasa segan untuk merasa ‘tester’ makanan yang ditawarkan sewaktu pameran ini berlangsung. Jika anda rasa malu-malu, anda akan terlepas peluang yang mungkin hanya akan datang sekali dalam seumur hidup. Kucing di rumah anda pun tidak mampu untuk memujuk anda meratapi kehilangan peluang keemasan ini.

12. Harga tiket parkir kereta pelawat adalah RM5 dan perlu dibayar di pintu hadapan dengan menggunakan kad Touch N Go. Pastikan baki kad anda mencukupi sebelum mengunjungi pameran ini.

13. Jika anda mahu membeli makanan terlebih dahulu, anda boleh meletakkan kereta pada pintu masuk berdekatan Hospital Serdang.

Tetapi, kalau anda mahu untuk membeli pokok-pokok ataupun mahu berjalan-jalan ke Laman Florikultur, Laman Perikanan, Laman Ternakan, anda boleh memarkirkan kereta anda di pintu besar berdekatan lebuh raya Puchong yang menghala ke Bangi.

14. Trem yang disediakan selalunya penuh. Kalau anda rasa sudah tidak larat lagi berjalan, sila letakkan kereta pada hujung-hujung lot agar masih ada lagi tempat duduk kosong pada trem. Jika anda meletakkan kenderaan pada bahagian depan lot, biasanya tempat duduk trem sudah pun penuh.

Mereka akan melambaikan tangan dan memberikan ‘senyuman yang paling indah’ kepada anda.  Berbalik kepada poin (4), apa salahnya kita  berjalan jauh untuk sekali sekala. Majulah sukan untuk negara.

15. Sila pakai pelitup muka dan sentiasa mensanitasi tangan anda.  Jika anda mengalami simptom-simptom seperti demam, batuk dan selsema, sila duduk di rumah terlebih dahulu. Kita masih belum menang dalam menangani wabak COVID-19.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

16. Anda digalakkan untuk datang seawal 9.00 pagi. Anda boleh memilih tempat parkir yang disukai dan dapat menikmati kunjungan anda sewaktu tempat pameran kurang sesak. Bangun awal pagi juga merupakan satu amalan yang mulia.

17. Anda digalakkan untuk membawa beg besar. Maka, barang-barangnya yang dibeli boleh dimasukkan dalam satu tempat sahaja dan memudahkan mobiliti anda. Jika anda membawa troli seperti dalam poin (10), itu adalah lebih baik.

18. Pasti anak-anak anda berada dalam kawalan anda. Jegilkan mata anda jika perlu.

19. Jika anak-anak anda seorang yang kerap membuang air kecil, lebih elok dipakaikan lampin. Dikhuatiri lokasi tandas adalah sangat jauh dan anak anda tidak mampu menahannya serta ‘melepaskannya’ di atas jalanan.

20. Jika anda mengambil foto dan memuatnaik ke dalam media sosial, jangan lupa letakkan tanda pagar #MAHA2022 #myDOA #LamanFlorikultur dan #MiracleGardenDOA. Sebaik-baiknya, jadikan pameran ini trending di Twitter.

Jika anda tidak mahu mengalami kesukaran ketika mencari tempat letak kenderaan ataupun sangsi akan skil memarkir anda, gunakan perkhidmatan Grab untuk pergi ke sana. Mengajak rakan-rakan untuk pergi bersama dapat menjimatkan kos Grab anda.

Sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk pergi ke sana, anda menekan pada pautan ini: https://mahaexpo.my/for-visitors/

Sila ikuti Tiktok Jabatan Pertanian Malaysia untuk sesi siaran langsung MAHA 2022 pada setiap hari: https://www.tiktok.com/@mydoa_hq?_t=8UVukN0pOq2&_r=1

Akhir sekali, pihak Jabatan Pertanian Malaysia sangat mengalu-alukan kehadiran anda ke ekspo tahunan ini. Kata-kata terakhir daripada kami, Selamat Datang ke MAHA 2022 Pameran Pertanian Terulung Malaysia.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma