Siakap Keli
pengimport haagen-dazs tarik balik produk
Gambar: FB KKM

Kandungi Bahan ETO Berlebihan, Produk Aiskrim Haagen-Dazs Perisa Vanila Ditarik Balik

Produk aiskrim dari Perancis, Haagen-Dazs berperisa vanila ditarik balik dari pasaran oleh syarikat pengimportnya ekoran mengandungi bahan karsinogenik berlebihan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, penarikan semula produk tersebut dibuat secara sukarela sebagai satu tindakan wajar yang diambil syarikat tersebut.

“Pemantauan yang berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum isu penarikan semula produk aiskrim berkenaan dari pasaran Eropah kerana didakwa mengandungi Ethylene Oxide (ETO) berlebihan.

Jelas Noor Hisham, penarikan semula itu dilakukan berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF).

Gambar: FB KKM

“Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanilla dari negara Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan.

“Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buah negara termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Noor Hisham, Ethylene Oxide atau singkatannya ETO merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

“Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” tambahnya.

Sehubungan itu, bagi pengguna yang masih berasa ragu-ragu akan produk berjenama tersebut yang dijual, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat, menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Sumber: FB KKM

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?