Siakap Keli
penyelidik temui spesies baru dinosaur
Gambar: Mauricio Alvarez & Gabrel Diaz Yanten via Science Alert

Penyelidik Dakwa Temui Spesies Baharu Dinosaur, Kecil Tapi Berperisai

Sekumpulan penyelidik mendakwa mereka menemui fosil spesies baharu dinosaur kecil berduri di Amerika Selatan baru-baru ini yang dipercayai daripada keturunan dinosaur berperisai yang belum diketahui, memetik laporan Science Alert.

Menurut artikel itu, spesies baharu ditemui yang disebut sebagai Jakapil kaniukura itu dipercayai hidup antara 94 hingga 97 juta tahun dahulu.

Nama ‘Jakapil‘ berasal daripada perkataan yang bermaksud ‘pembawa perisai’ dalam bahasa Puelchean atau utara Tehuelchean Orang Asli Argentina, manakala ‘Kanikura‘ pula berasal daripada perkataan yang bermaksud ‘puncak’ dan ‘batu’ dalam bahasa Orang Asli Mapudungun.

Menurut ahli paleontologi di Yayasan Sejarah Semula di Argentina, Félix de Azara, beliau menemui sebahagian rangka fosil haiwan itu di wilayah Río Negro di utara Patagonia, Agentina.

pengkaji temui spesis baru dinasour
Gambar: Science Alert

Azara yang melaporkan dalam kajian terbaru itu menyatakan bahawa Jakapil tinggal di Hemisfera Selatan, namun tidak dapat ditemui sepenuhnya hingga kini.

Haiwan prasejarah itu dilihat mempunyai persamaan dengan saudara primatifnya seperti Ankylosaurus atau Stegosaurus, namun ia hidup di era terakhir dinosaur, Cretaceous.

Dalam pada itu, Azara dan Sebastián Apesteguía serta ahli paleontologi Universiti País Vasco Xabier Pereda-Suberbiola menyatakan penemuan haiwan itu menunjukkan taburan geografi yang luas (di pelbagai tempat) tidak seperti yang difikirkan.

Difahamkan, beratnya hampir sama seperti seekor kucing, selain mempunyai deretan duri pelindung dari leher hingga ke ekor. Dinosaur kecil itu berkemungkinan mampu membesar sehingga kira-kira 1.5 meter panjang.

Ia juga sejenis haiwan pemakan tumbuhan dengan gigi yang berbentuk daun seperti Stegosaurus.

Sementara itu, dalam jurnal Scientific Reports yang diterbitkan oleh penyelidik pada 11 Ogos lalu, haiwan itu mungkin memakan tumbuhan-tumbuhan keras dan berkayu.

Dari segi fizikal luaran, Jakapil dipercayai berjalan secara menegak dengan paruh pendek yang mampu memberikan gigitan yang kuat.

Laman Twitter PaleGDY pula ada memuat naik video ilustrasi yang menggambarkan imej sebenar dinosaur spesies kecil itu seperti di bawah.

Untuk makluman, kebanyakan thyreophorans diketahui berasal dari Hemisfera Utara. Fosil terawal kebanyakannya ditemui di zaman Jurassic di Amerika Utara dan Eropah kira-kira 163 hingga 201  juta tahun dahulu.

Stegosaurus, Ankylosaurus dan dinosaur jenis berperisai lain tergolong dalam kumpulan Thyreophora. Haiwan yang hidup lebih awal dalam golongan itu difahamkan telah pupus sejak zaman Jurassic Tengah.

Kesimpulannya, penemuan Jakapil menjadi satu misteri tentang bagaimana keturunan purba thyreophorans itu masih bertahan hingga ke Zaman Kapur Akhir di Amerika Selatan.

Sumber: Science Alert

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?