Siakap Keli
Gambar: Instagram Syamsulyusoffilm

Syamsul Yusof Terima ‘Lampu Hijau’ Dari Istana, Ditawar Arah Filem Epik Sejarah Melaka

Pengarah dan pelakon filem terkenal, Syamsul Yusof ibarat terima ‘lampu hijau’ untuk menghasilkan sebuah filem epik sejarah silam Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

Menerusi laman Instagram rasmi, syamsulyusoffilm, beliau berkongsi foto-foto dirinya berkunjung ke istana negeri berkenaan baru-baru ini.

Malah apa yang menariknya berdasarkan hantaran itu, difahamkan idea penghasilan filem sejarah Melaka tersebut turut ‘diiktiraf’ oleh Yang Dipertua Negeri Melaka sendiri.

“Perpaduan antara Sultan, bendahara & pahlawan Melayu perlu lebih ditekankan dalam filem kamu selepas ini – Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam,” tulis Syamsul di Instagram.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Syamsul Yusof (@syamsulyusoffilm)

Tambah pengarah filem itu, dia mengucapkan rasa bersyukur dengan sokongan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan filem yang bakal direncanakannya kelak.

“Terima kasih juga buat Tuan Zaidi Haji Hassan & Datuk Md Nasir. Tanpa kalian, impian negara & bangsa mungkin sukar diperoleh,” katanya lagi.

Filem epik sejarah Melaka masih fasa awal

Sementara itu menerusi laporan Utusan Malaysia, kerajaaan Negeri Melaka menawarkan mahu bekerjasama dengan Syamsul bagi mengangkat kembali martabat sejarah Melaka melalui sebuah filem.

Bagaimanapun, perkara itu masih pada fasa awal perbincangan dan masih tiada butiran mengenai perkara itu, lapor Utusan Malaysia selepas menghubungi Syamsul menerusi aplikasi WhatsApp.

“Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menyatakan minat untuk bekerjasama dan akan sekali lagi memanggil saya serta pasukan untuk berbincang lebih lanjut.

“Beliau ada meminta saya melakukan penambahbaikan skrip dengan memasukkan beberapa idea untuk memantapkan lagi produksi itu,” jelas Syamsul.

Lapor Utusan lagi, filem itu bakal menjadi pojek termahal pernah dihasilkan oleh negara jika diwujudkan, maklum Syamsul yang mengesahkan perkara itu.

“Ratus (juta)… Insya-Allah, filem ini akan menjadi produksi paling mahal dalam sejarah pembikinan filem di Malaysia,” katanya.

Imbas kembali, Syamsul yang mengarahkan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebelum ini menggegarkan industri perfileman tanah air apabila karya layar peraknya itu berjaya meraih hampir RM96 juta.

Keratan artikel terdahulu

Sumber: Instagram Syamsulyusoffilm, Utusan Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?