Siakap Keli
Bunuh Perogol
Gambar via Wion News

Mengaku Bersalah Bunuh Perogolnya, Remaja Dipenjara 5 Tahun & Diarah Bayar Pampasan RM 680k

Mengaku Bersalah Bunuh Perogolnya, Remaja Dipenjara 5 Tahun & Diarah Bayar Pampasan RM 680k

Seorang remaja di Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan diarah untuk membayar pampasan sebanyak RM680,000 kepada keluarga lelaki yang didakwa merogolnya. Ia selepas remaja berkenaan didapati bersalah membunuh lelaki tersebut.

Remaja berkenaan dilaporkan mengaku bersalah di atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan membunuh tanpa niat, yang mana membawa hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Selasa lalu, hakim mengarahkannya menjalani hukuman penjara lima tahun (tempoh percubaan) dengan pemantauan rapi dan memerintahkannya untuk membayar sejumlah pampasan bernilai RM679,875 kepada keluarga lelaki tersebut.

Hukuman tambahan selama 20 tahun akan dikenakan kepada remaja berkenaan sekiranya dia melanggar aturan tempoh percubaan tersebut.

Walaupun mengakui keputusan itu mengundang kontroversi, namun hakim menjelaskan dia tiada pilihan lain memandangkan undang-undang negeri menetapkan bagi mana-mana individu yang mengaku bersalah membunuh, hendaklah membayar pampasan sebanyak RM 680,000 kepada keluarga mangsa bunuhnya.

”Semangat saya telah dibakar, tetapi tetap akan menyinar di sebalik api. Dengarkan teriakan saya, lihat saya bersinar dan membesar. Saya adalah pejuang,” kata mangsa dalam satu kenyataan yang dibacanya selepas hakim menjatuhkan hukuman.

Memetik BBC News, mangsa hanya berusia 15 tahun ketika kejadian itu berlaku pada 2020, manakala lelaki berkenaan pula berusia 37 tahun.

Ketika mengimbas peristiwa berkenaan, remaja tersebut melarikan diri daripada rumah selepas menjadi mangsa penderaan dan tinggal di kaki lima. Dia selepas itu bertemu dengan seorang lelaki sebelum didagangkan untuk tujuan seks kepada orang lain.

Mangsa memberitahu mahkamah bahawa salah seorang daripada mereka adalah lelaki yang dibunuhnya, yang telah merogolnya beberapa kali.

Remaja tersebut mengakui telah menikam lelaki berkenaan lebih 30 kali dan bertindak demikian atas rasa amarah kerana menjadi mangsa rogol lelaki tersebut.

Walaupun mengaku bersalah, remaja itu mempertahankan tindakan tersebut.

”Saya telah mengambil nyawa seseorang. Ketika kejadian, saya tidak mempunyai niat untuk membunuh sesiapa pun. Dalam fikiran, saya beranggapan bahawa saya tidak selamat dan berada dalam situasi bahaya, yang membawa kepada kejadian itu.

”Tetapi, ia tidak mengubah fakta bahawa jenayah telah berlaku ,” katanya.

Pihak polis dan pendakwaraya tidak membantah fakta bahawa remaja itu menjadi mangsa rogol dan pemerdagangan seks. Namun pendakwaraya berkata ketika kejadian, lelaki berkenaan sedang tidur sekaligus tidak memberikan ancaman segera kepada mangsa.

Iowa merupakan negeri tanpa undang-undang khusus yang memberikan mangsa pemerdagangan manusia hak mempertahankan diri mereka. Selain itu, pengakuan bersalah mangsa juga telah menyebabkan persetujuan untuk pembelaan telah diketepikan.

BACA: Kes Mayat 2 Budak Ditemui Dalam Beg, Wanita Diberkas Dipercayai Bunuh Anak Sendiri

BACA JUGA: Kematian Dicemburui, Ustazah ‘Dijemput’ Ajal Saat Pimpin Majlis Khatam Al-Quran Secara “Live”

Sumber: Wion News, BBC News

Faiz Mustafa