Siakap Keli
Gambar: SCMP

Syarikat Di China Dikecam, Pasang CCTV Dalam “Toilet” Untuk Pantau Pekerja

Syarikat Di China Dikecam, Pasang CCTV Dalam “Toilet” Untuk Pantau Pekerja

CHINA – Sebuah syarikat di China telah menafikan dakwaan bahawa terdapat kamera litar tertutup CCTV yang dipasang di tandas pekerja untuk memantau kepatuhan pekerjanya terhadap polisi larangan merokok, lapor portal asiaone.

Perkara tersebut berlaku selepas gambar pekerja yang menghisap rokok di dalam tandas syarikat itu tular pada minggu lalu.

Dilaporkan, syarikat tersebut telah menetapkan polisi larangan merokok di dalam tandas, namun terdapat beberapa orang pekerja yang tidak mematuhi peraturan tersebut.

Anak syarikat pengeluar bateri milik kerajaan itu telah mendapat pelbagai komen dan kecaman namun mereka menafikan kewujudan kamera itu.

Tiga keping gambar telah dikongsikan oleh pihak syarikat yang menunjukkan tiga orang lelaki sedang duduk di atas tandas sambil merokok dan menggunakan telefon bimbit mereka.

Difahamkan, gambar tersebut dikongsikan sebagai tanda amaran agar mematuhi dasar syarikat yang telah ditetapkan.

Namun, terdapat pihak yang memuat naik gambar tersebut di media sosial dan seterusnya tular.

Seterusnya, gambar itu mencetuskan kebimbangan privasi yang serius dalam kalangan netizen.

Majoriti mengatakan ia adalah satu contoh pengawasan yang keterlaluan dan mendapat pelbagai reaksi oleh pengguna media sosial.

“Syarikat itu harus dihukum kerana menyalahgunakan CCTV,” komen pengguna media sosial.

“Tidakkah mereka tahu ada alat yang dipanggil pengesan asap yang berguna untuk menangkap perokok?”

Selain gambar, syarikat tersebut juga telah menghebahkan hukuman terhadap tiga orang pekerja itu.

Dua daripadanya telah dipecat manakala seorang lagi dibatalkan bonus bulanannya dan menerima amaran rasmi.

Menurutnya, pekerja telah melanggar polisi dan berhak menerima “penalti yang serius”, tanpa menyatakan peraturan yang mereka langgar.

Seorang kakitangan memberitahu bahawa kamera litar tertutup telah dipasang awal tahun ini untuk menangkap perokok di dalam tandas.

“Kamera itu dapat akses privasi pekerja, tetapi dasar itu mempunyai kelebihan dan kekurangan,” katanya,

Dilaporkan kejadian yang hampir sama berlaku di sebuah syarikat teknologi yang memasang kamera litar tertutup di atas setiap stesen kerja di pejabatnya.

Firma itu mempertahankan keputusannya dan menyatakan alasan kamera tersebut dipasang.

“Ia menghentikan maklumat sulit daripada bocor kerana mereka pakar dalam membangunkan permainan dalam talian.”

China mempunyai rangkaian pengawasan terbesar di dunia, tetapi dikritik selepas orang ramai semakin menyedari jumlah kamera yang banyak.

Menurut penyelidik industri IHS Markit, pada 2019, lebih separuh daripada kamera litar tertutup dunia terletak di China.

Pada tahun 2020, sekumpulan artis di Beijing cuba mengelak daripada kamera litar tertutup namun perkara tersebut adalah mustahil kerana semua kawasan dilengkapi dengan kamera litar tertutup.

Sumber : asiaone

Anis Annisa