Siakap Keli
mpv polis dikunci
Gambar: FB Sani Shariff

Polis Perjelas Isu Tayar MPV Polis Dikunci

Polis Perjelas Isu Tayar MPV Polis Dikunci 

Polis perjelas isu tular di media sosial mengenai sebuah kereta peronda polis (MPV) yang dikunci menggunakan pengapit tayar (clamp) pada tayar kanan hadapan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Difahamkan, kenderaan itu diletakkan di sebuah kotak tempat letak kenderaan di sebuah lokasi sebelum tayarnya dipercayai dikunci oleh pengawal keselamatan kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kejadian itu berlaku disebabkan wujud salah faham antara pihak perbadanan pengurusan dan pengawal keselamatan.

Jelas Soffian, perkara itu sudah diselesaikan dan pihaknya telah menerima permohonan maaf dari perbadanan tersebut.

“Polis telah mengesahkan insiden tersebut dan terdapat kekhilafan di pihak perbadanan pengurusan dalam memberikan arahan kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

“Polis turut menerima surat rasmi permohonan maaf daripada jawatankuasa penduduk bersama pihak perbadanan pengurusan pangsapuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, insiden yang berlaku itu tidak akan menjejaskan hubungan baik yang terjalin oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama perbadanan.

“Diharapkan perkara ini tidak akan menjadi pertikaian awam secara berterusan.

“Pihak yang bertanggungjawab telah sejujurnya mengaku dan membuat permohonan maaf di atas kekhilafan yang tidak disengajakan,” tambah Soffian.

Sumber: @PDRMsia via Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana