Siakap Keli
ini 10 jurusan pengajian paling disesali graduan
Gambar: Pixabay

Tersalah Pilih, Ini 10 Jurusan Pengajian Paling Disesali Graduan Lepas Tamat Belajar

Tersalah Pilih, Ini 10 Jurusan Pengajian Paling Disesali Graduan Lepas Tamat Belajar

Seperti yang kita sedia maklum, bidang pengajian yang dipilih ketika menyambung pelajaran ke universiti merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan.

Pilihan jurusan yang dibuat secara tidak langsung akan memberi impak yang besar dalam penentuan kerjaya seseorang.

Maka, setiap pelajar pasti sudah mengambil kira kepentingan jurusan yang diambil oleh mereka dan kerjaya yang boleh menjamin masa depan mereka.

Bagaimanapun, setelah tamat belajar, ada sesetengah pelajar yang merasa sangat menyesal kerana memilih jurusan yang salah.

10 jurusan paling disesali

Berdasarkan tinjauan ZipRecruiter terhadap lebih 1,500 graduan universiti, berikut merupakan 10 jurusan yang paling disesali oleh mereka setelah tamat tempoh pengajian.

Menurut tinjauan yang dilakukan, jurusan Kewartawanan, Sosiologi, Seni Liberal/Pengajian Am mendahului senarai jurusan yang paling disesali oleh para pelajar dengan peratusan sebanyak 87% dan 72%.

Para pelajar yang memilih jurusan ini cenderung untuk tertarik kepada bidang tersebut sewaktu mereka berada di sekolah.

Kebanyakan dari mereka menyangka bahawa gaji yang ditawarkan adalah lumayan dan memberi jaminan pekerjaan yang bagus di masa hadapan.

Namun, mereka telah ‘dihidangkan’ dengan realiti yang sebenar apabila tamat pengajian di universiti.

Bukan itu sahaja, para pelajar dari tinjauan yang dilakukan turut berkata mereka lebih sanggup memilih jurusan Sains komputer atau Pentadbiran Perniagaan.

Dalam pada itu, jurusan Komunikasi berada pada kedudukan keempat dengan 64% graduan yang menyesal memilihnya. Ia diikuti oleh jurusan Pendidikan dengan 61% dan pengurusan Pemasaran dan Penyelidikan dengan 60%.

Selain itu, 58% graduan menyesal memilih jurusan Perubatan atau Pembantu Perubatan. Manakala Sains Politik pula melibatkan 56% graduan dan diikuti dengan Biologi serta Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan dengan angka peratusan sebanyak 52%.

Kredit: Gabriel Cortes/CNBC

Pun begitu, hasil tinjauan juga mendapati bahawa 72% graduan yang mengambil jurusan Sains Komputer dan Kriminologi tidak menyesal dengan pilihan mereka.

Hal ini kerana purata gaji permulaan tahunan yang ditawarkan bagi jurusan Sains Komputer hampir mencecah $100,000 (RM459,000).

Kredit: Gabriel Cortes/CNBC

Manakala, Kejuruteraan juga masih mendapat tempat dalam kalangan pelajar dengan 71% graduan berkata tidak menyesal memilih jurusan itu. Ia diikuti jurusan Kejururawatan dengan 69% dan Kesihatan 67%.

Seiring dengan perubahan ekonomi semasa, faktor gaji telah menjadi penyumbang terbesar dalam menentukan kerja seseorang. Rata-rata mahasiswa akan memilih jurusan yang lebih menguntungkan mereka di masa hadapan.

Sumber: CNBC Indonesia

BACA: “Orang Kampung Kata…Mungkin Tak Kembali,” Misteri Busut Di Kg. Seri Daik, Penduduk Dilarang Dekat

BACA JUGA: Berdepan Inflasi, Ramai Berjimat Buat Dua Tiga Kerja Sehari Nak Bagi Keluarga “Happy”

Farah Nabilah